Ahad, 26 Mac 2017 - 3:44AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

2 ketua balai polis, 10 penguat kuasa ditahan rasuah

Oleh Ilah Hafiz Aziz



WANG tunai dan barangan berharga yang dirampas dalam serbuan itu. - Foto ihsan SPRM

KUALA LUMPUR: Dua ketua balai polis daerah Kajang dan Sungai Buloh, Selangor bersama 10 lagi anggota penguat kuasa pelbagai agensi yang melindungi pusat urut haram di sekitar negeri ini, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Mereka yang ditahan dalam operasi pada jam 9 pagi itu, dua ketua balai berpangkat inspektor; anggota polis (5); Bomba (4) serta seorang pegawai sebuah majlis perbandaran.

Mereka yang berusia antara 26 dan 53  itu ditahan di sekitar Kajang, Sungai Buloh dan Kampung Pandan.

Sumber berkata, hasil risikan yang dijalankan hampir tiga bulan itu, suspek didapati  menerima wang rasuah secara bulanan daripada pengusaha rumah urut haram di Kajang dan Sungai Buloh.

Katanya, semua suspek adalah penguat kuasa yang bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang seperti tidak memiliki lesen, menggajikan pendatang tanpa izin dan juga melanggar aspek keselamatan kebakaran.

"Sebaliknya, suspek menyalahgunakan kuasa dengan mengutip wang rasuah antara RM300 hingga RM10,000 bagi setiap rumah urut yang dilindungi mereka.

"SPRM turut merampas wang tunai RM25,000 daripada salah seorang ketua balai polis itu di rumah dan pejabatnya ," katanya 

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani mengesahkan tangkapan dan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM.

Katanya, semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Shah Alam esok untuk dapat perintah reman.


Trending

    Disyorkan