Ahad, 26 Mac 2017 - 3:43AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Ketua Balai Bomba Langkawi dipenjara kes rasuah

Oleh Adha Ghazali


ALOR SETAR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 40 bulan dan denda RM60,000 ke atas Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi, atas dua kesalahan rasuah yang didakwa dilakukannya pada 2012.

Hukuman diputuskan Hakim Zanol Rashid Hussain, ke atas tertuduh, Yaakob Hassan, 48, selepas meneliti kesalahan dilakukan yang disifatkan sebagai serius.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Hakim kemudian memutuskan hukuman penjara 20 bulan bagi kedua-dua kes dengan denda RM50,000 bagi pertuduhan pertama dan RM10,000 bagi pertuduhan kedua.


YAAKOB Hassan dijatuhi hukuman penjara 20 bulan dan denda RM60,000 atas dua pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Alor Setar. - Foto Shahrizal Md Noor

Bagaimanapun hukuman penjara bagi kedua-dua kesalahan itu diarah berjalan serentak.

Berdasarkan pertuduhan, Yaakob didakwa meminta suapan RM10,000 daripada Jamat Harun menerusi panggilan telefon ketika pengadu berada di rumahnya di Kampung Kilim, Mukim Ayer Hangat di Langkawi, dekat sini pada jam 7.40 malam 13 Oktober 2012.

Suapan itu didakwa sebagai upah untuk tertuduh membantu menutup siasatan polis ke atas anak lelaki pengadu, Mohd Shafiqq Affandi Jamat.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menerima rasuah RM2,000 daripada Ahmad Ridzwan Jamat bagi tujuan sama di bilik Ketua Balai di BBP Langkawi, pada 14 Oktober 2012, kira-kira jam 3 petang.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A Hafiizh Abu Bakar, manakala tertuduh diwakili peguam Paramjit Singh.


Trending

    Disyorkan