Isnin, 29 Disember 2014 | 9:47pm
Zarina Zainuddin
Bersama anak-anak tersayang

Zarina Zainuddin tunda tarikh perkenal suami, madu


Zarina Zainuddin.

KUALA LUMPUR: Hasrat pelakon Zarina Zainuddin, 44, untuk memperkenalkan suaminya dan madu pada 31 Disember ini terpaksa ditangguh seketika kerana bencana banjir yang melanda di beberapa negeri ketika ini.

Perancangan asal itu mahu diadakan di kediamannya di Subang Jaya dengan mahu mengadakan majlis meraikan ulang tahun perkahwinan beliau dan madu.

Zarina sudah 21 tahun hidup bermadu. Beliau isteri kedua kepada lelaki bergelar ahli perniagaan berusia 57 tahun berpangkat Datuk Seri.

Manakala madunya sudah hidup bersama suami beliau selama 32 tahun.

"Memang perancangan nak meraikan ulang tahun saya dan madu serentak termasuk mengadakan malam berinai. Bayangkan sudah banyak pihak yang mahu menaja.

"Pelamin dari ZA_sanggul, Izzi Canopy, jurugambar Arieldmillan. Tapi tak elok pula nak bersuka ria di saat negara sedang berduka.

"InsyaAllah ada rezeki majlis ini akan berlangsung pada masa lain dan akan diumumkan kelak. Sayang tak buat kerana ramai yang mahu menaja," kata pengusaha produk kecantikan jenama Addura itu.

Bagaimanapun, sebagai menggantikan acara itu, Zarina memilih untuk adakan majlis tahlil dan solat hajat untuk mangsa banjir pada 1 Januari ini.

"Majlis ini akan diadakan lepas waktu Asar di lokasi yang sama iaitu di rumah saya di Subang Jaya," katanya.

Ditanya kenapa baru sekarang memilih untuk memperkenalkan suami biarpun cukup berahsia mengenai siapa suaminya, Zarina ada alasan tersendiri.

"Dek jarang memuat naik gambar suami di laman sosial dan hanya memuat naik gambar bersama anak saja, ramai pula yang fikir bukan bukan.

"Sampai satu tahap orang ingat saya sebenarnya janda. Biasalah bila tak pernah tayang suami di khalayak ramai, mulalah orang berteka teki.

"Lebih teruk apabila saya yang turut bekerjaya sebagai ahli perniagaan, ada pula lelaki yang mula ambil kesempatan dan menggatal. Yalah atas dasar kerja, saya beri nombor telefon bimbit tanpa prejudis," katanya.

Tambahnya lagi empat anak lelakinya kian membesar jadi hal sebegitu perlu didedahkan dan bukan lagi kekal rahsia.

"Saya pun sudah minta izin suami dan madu untuk mengadakan majlis berkenaan. Dulu di awalan perkahwinan biasalah kalau tak sebulu dengan madu.

"Tapi sekian lama saya dan madu sudah okey. Perlahan lahan saya cuba masuk hidupnya dan begitu juga dengan madu. Alhamdulillah saya tahu kedudukan saya sebagai isteri kedua.

"Kini hubungan dengan madu semakin baik termasuk keluarga masing masing," katanya yang masih aktif berlakon sejak 23 tahun lalu.

Tiga drama lakonannya kini sedang disiarkan di kaca TV iaitu Istikharah Cinta (slot Akasia TV3), Gerimis Salju Naminara (RTM) dan Satu Hari (TV9). Zarina baru saja selesai penggambaran drama Keluarga Karaoke untuk Astro mustika Hd.

Berita Harian X