Sabtu, 27 Mei 2017 - 9:53PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Kawalan pasaran hartanah mula beri impak

Oleh Shahrizan Salian



PERTUMBUHAN Indeks Harga Rumah susut kepada 9.6 peratus suku terakhir 2015. - Foto hiasan

KESAN daripada beberapa langkah meredakan pasaran hartanah yang diambil oleh Bank Negara Malaysia (BNM) mula kelihatan sejak dua tahun lalu.

Menurut laporan BNM, pertumbuhan Indeks Harga Rumah (HPI) Malaysia susut kepada 9.6 peratus pada suku keempat 2015, berbanding 12.2 peratus yang dicatatkan setahun sebelumnya.

Walaupun sudah pasti ada pro dan kontra kepadanya, pembeli rumah yang tulen sedikit sebanyak mungkin merasa tempiasnya.

Laman web hartanah nombor satu di negara ini, iProperty.com Malaysia, baru-baru ini mendedahkan impak hasil kajian yang dibuatnya terhadap pelbagai langkah yang diambil oleh kerajaan dan bank pusat untuk mengawal pasaran hartanah tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif iProperty.com Malaysia & Singapura, Haresh Khoobchandani, berkata syarikat itu bersama Brickz.my menganalisis data daripada BNM dan Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH) untuk mengkaji sama ada pelbagai langkah kawalan yang diperkenalkan beberapa tahun kebelakangan ini mempunyai impak terhadap pasaran kewangan dan kediaman.

Katanya, daripada data yang dikumpul, didapati bahawa harga hartanah kediaman di Malaysia melonjak dengan mendadak sejak 2000.

Beliau berkata, antara 2008 hingga suku kedua 2009, susulan krisis gadai janji subprima di Amerika Syarikat (AS) yang menjejaskan ekonomi di seluruh dunia, harga rumah hampir tidak mengalami pertumbuhan.

"Jumlah pinjaman yang diluluskan bagi hartanah kediaman juga susut pada tahun yang sama apabila pasaran mengalihkan dana daripada pasaran hartanah yang lemah," katanya.

Merujuk kepada data HPI, Haresh berkata perangkaan suku tahunan indeks berkenaan mula meningkat ke paras tertinggi bermula suku pertama 2011 hinggalah suku pertama 2012.

Katanya, pada suku pertama 2011, HPI berada pada 149.1, manakala suku pertama 2012 menyaksikan HPI berada pada 167, mewakili kenaikan sebanyak 17.9 mata peratusan.

"Bagi tempoh sama, pinjaman bagi kediaman hartanah yang diluluskan adalah stabil pada RM20.4 bilion," katanya.

Beliau menjelaskan, kajian yang dibuat juga menunjukkan apabila Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mula menyenaraikan peminjam yang tidak membayar balik pinjaman ke dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), terdapat 30 peratus pinjaman ditolak tahun lalu.

Kajian juga mendedahkan HPI suku tahunan menjadi perlahan dengan pertumbuhan 15.3 mata antara suku pertama 2015 hingga suku pertama 2016.

Pinjaman bagi hartanah kediaman juga merosot mendadak sebanyak RM5.6 bilion dari suku pertama 2015 hingga suku pertama 2016.

Bagaimanapun, HPI terus meningkat walaupun terdapat penurunan jumlah pinjaman hartanah kediaman yang diluluskan sejak 2014.

Pengasas Brickz.my dan Pengurus Besar Perkhidmatan Data iProperty.com Malaysia, Premendran Pathmanathan berkata, langkah yang diperkenalkan kerajaan, khususnya menarik balik Skim Tanggungan Faedah Pemaju (DIBS) memperlahankan permintaan dalam sektor hartanah.

Katanya, DIBS hanya memerlukan bayaran asas lima atau 10 peratus harga rumah, maka pembelian menjadi satu pilihan yang menarik kepada pelabur. Berkemungkinan bahawa kenaikan harga hartanah baharu bermula 2011 adalah hasil pembelian spekulatif disebabkan skim itu.

Beliau merumuskan bahawa langkah yang dilaksanakan BNM dan kerajaan memberikan impak kepada sektor kewangan, selain mengurangkan sentimen negatif lambakan berlebihan dalam pasaran perumahan tempatan.

"Indeks harga rumah terus meningkat dua angka sebanyak 15.3 mata pada suku pertama 2016, manakala sektor kewangan dalam pinjaman rumah susut 23.24 peratus.

"Harga rumah berkemungkinan tidak akan jatuh, namun dijangka stabil atau meningkat pada kadar lebih perlahan dalam beberapa tahun akan datang. Ini khususnya disebabkan oleh kita mempunyai populasi dewasa muda yang bertambah dan ini memacu permintaan bagi hartanah, yang berikutnya akan memberikan tekanan ke atas harga."

Beliau berkata, memandangkan industri hartanah dalam proses pengukuhan, ia akan mengalihkan fokusnya kepada pembangunan yang lebih tertumpu kepada mampu milik.

Katanya, infrastruktur seperti pengangkutan, tenaga dan sosial akan membantu meningkatkan kecekapan ekonomi dan mengurangkan kos hidup, sekali gus menjadikan beberapa lokasi yang satu ketika dilihat mahal untuk didiami, kini menjadi lebih mampu dimiliki.


Trending

    Disyorkan