Sabtu, 27 Mei 2017 - 9:59PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Sekolah di Perak boleh teruskan kegiatan luar

Oleh Nor Shayaumil Qhairil Eemann



KEMENTERIAN Pendidikan tidak menghalang sekolah di Perak mengadakan kegiatan luar. - Foto Effendy Rashid

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan tidak menghalang sekolah di Perak mengadakan kegiatan luar, walaupun wabak Influenza A(H3) kini sedang menular di negeri berkenaan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata penyebaran wabak terbabit belum berada pada tahap yang serius, kini hanya 232 murid terjejas akibat wabak berkenaan selain Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sentiasa memantau penularannya.

"Berdasarkan laporan yang diterima pihak kementerian, 50 murid dikuarantin di rumah dan asrama. Kita harap ibu bapa, pihak sekolah dan JKN akan sentiasa peka dengan wabak ini, " katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan dan Ikrar Bebas Rasuah kementeriannya, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad; Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Dr Khair Mohd Yusof dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Pada majlis itu, Mahdzir menyaksikan 300 kakitangan kementeriannya melafazkan ikrar bebas rasuah yang berlangsung di Dewan Serba guna Kementerian Pendidikan.

Beliau turut menasihatkan warga kementeriannya supaya mengamalkan integriti bagi memastikan budaya kerja lebih profesional kerana mereka adalah pendidik.

"Bermula 2013 hingga Januari 2017, 392 kertas siasatan, pemeriksaan awal dan kertas risikan membabitkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Kementerian Pendidikan dikeluarkan oleh SPRM.

"Hanya 23 tangkapan dibuat dengan 10 sahaja yang dituduh, namun perkara ini perlu diambil serius oleh warga kementerian ini dan kita menyerahkan segala isu berkaitan rasuah ini kepada pihak SPRM untuk tindakan lanjut," katanya.


Trending

    Disyorkan