Jumaat, 24 Mac 2017 - 6:23PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Kelantan isytihar wabak H5N1 bencana negeri

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim



ANGGOTA Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan menjalankan operasi memusnahkan unggas berhampiran kawasan ladang ternakan burung puyuh yang diserang wabak H5N1 di Kampung Tempoyok, Bunut Susu, Pasir Mas, semalam. - Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Kerajaan negeri mengisytiharkan wabak selesema burung atau virus Avian Influenza (H5N1) yang melanda Kelantan sebagai bencana negeri mengikut Perintah Majlis Keselamatan Negara 20 (MKN 20).

Perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat EXCO di sini, hari ini, berikutan wabak berkenaan semakin merebak membabitkan 23 kampung di empat daerah, berbanding sebelum ini hanya dua daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, berkata, menerusi MKN 20, semua agensi berkaitan akan digerakkan untuk mengambil langkah pencegahan bagi mengelak ia terus merebak.

"Wabak berkenaan merebak dengan cepat meskipun kerajaan negeri menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sudah mengambil langkah awal sebaik ia disahkan positif di Kampung Pulau Tebu, di sini.

"Dua daerah terbaru yang dikesan adalah di Kampung Dusun Durian, Bachok dan Kampung Bukit Merbau, Pasir Puteh. Kota Bharu menjadi daerah paling tinggi iaitu membabitkan 18 kampung setakat ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Exco, di sini, hari ini.

Che Abdullah berkata, sehingga kini, sebanyak 23,768 unggas dan 881 telur dilupuskan membabitkan 129 premis sebagai langkah pencegahan.


Lagi Berita:

Trending

    Disyorkan