Khamis, 30 Mac 2017 - 12:42PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Ubah cara pemikiran buahkan hasil

Oleh Datuk Lee Chong Wei



PEMAIN nombor satu dunia, Lee Chong Wei bersama trofi kejuaraan Terbuka All England pada 17 Mac yang lalu. Pada final menentang Shi Yuqi dari China, Chong Wei menang straight set 2-0. - Foto AFP

Siapa yang tidak mahu memenangi gelaran juara Kejohanan Badminton Dunia? Sudah pasti setiap pemain mengimpikan bagi meraih gelaran kejohanan berprestij itu, termasuk saya.

Selepas tiga kali sekadar muncul naib juara pada 2011, 2013 dan 2015, tipu jika saya katakan saya sudah tidak ada impian bagi memenanginya buat kali pertama.

Keinginan untuk menjadi juara dunia semakin melonjak selepas menyedari belum pernah ada mana-mana pemain Malaysia memenanginya.

Tahun ini, saya akan cuba sekali lagi bagi memburu gelaran pada Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos depan. Namun, persiapan saya kali ini sedikit berbeza berbanding edisi terdahulu. Saya tidak mahu lagi memberi tekanan kepada diri sendiri dengan terlalu memikirkan mahu bergelar juara.

Saya mahu ubah cara pemikiran saya dalam persiapan menuju ke Glasgow. Ia penting kerana cara pemikiran mampu mempengaruhi persiapan, prestasi serta corak permainan saya.

Pasang niat di Glasgow

Saya sudah tetapkan dalam pemikiran saya, sekiranya saya gagal sekali lagi tahun ini, saya akan terima hakikat itu. Kalah... kalahlah. Saya mahu menjadikan ia sebagai psikologi kepada diri sendiri.

Saya akan ke Glasgow dengan niat untuk berjuang habis-habisan dan fokus terhadap diri sendiri. Saya tidak mahu bercakap lagi mengenai gelaran juara. Saya mahu kosongkan fikiran dan memastikan tiada sebarang gangguan yang mampu menjejaskan fokus bagi melakukan persiapan.

Seperti yang berlaku ketika saingan Seluruh England, saya memang tidak letak sebarang sasaran khusus. Semua orang tanya, termasuk pihak media bagaimana keadaan saya kerana sebelum itu saya mengalami kecederaan lutut. Ketika itu saya terus terang yang saya tidak berada pada tahap terbaik saya. Saya hanya ada 10 hari bagi melakukan persiapan.

Pemikiran saya ketika itu... saya katakan kepada diri sendiri, jika layak ke suku akhir pun sudah cukup bagus dan jika mara ke separuh akhir ia bonus untuk saya. Namun, saya berjaya ke final dan seterusnya merangkul gelaran keempat Seluruh England selepas 2010, 2011 dan 2014.

Jadi, saya perlu ubah cara pemikiran saya. Saya perlu terapkan cara pemikiran sama seperti mana yang saya lakukan bagi menghadapi Seluruh England. Saya perlu lupakan semua perkara yang boleh mengganggu saya.

Kisah saya, Frost

Saya sedar sebelum saya ke Seluruh England, banyak orang bercakap mengenai perselisihan antara saya dengan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen. Ada yang kritik saya tidak sepatutnya gaduh dengan Frost dan macam-macam lagi.

Bagaimanapun, saya tidak kisah apa yang orang cakap. Jika saya layan, ia akan memberi tekanan kepada saya. Saya buktikan semua kritikan ke atas diri saya menerusi kejayaan yang saya raih.

Saya tidak perlu memberi penjelasan kepada semua orang mengapa saya bergaduh dengan Frost. Apa yang paling penting Tuhan tahu saya tidak buat salah. Saya tahu diri saya sendiri. Dalam hal ini, apa yang berlaku adalah tahap kesabaran saya sudah capai tahap maksimum dan saya tidak boleh tahan.

Namun, sekarang semua sudah selesai dan saya mahu fokus kepada persiapan saya sendiri. Saya mahu buktikan untuk diri saya sendiri.

Giliran pemain muda menyerlah

Saya juga sedar, peningkatan yang ditunjukkan pemain muda dari negara lain bakal menjadi cabaran kepada saya pada Kejohanan Dunia nanti. Namun, saya anggap ia perkara biasa. Setiap tahun pasti akan ada pemain muda yang menunjukkan peningkatan, ia adalah lumrah.

Usia saya semakin meningkat dan begitu juga pemain yang seangkatan dengan saya seperti Lin Dan. Masa emas kami sudah hampir tamat dan kini giliran pemain muda untuk menyerlah. Kami perlu terima hakikat itu.

Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang cukup prihatin dengan kebajikan saya dan atlet.

Terima kasih menteri

Selepas saya pulang daripada Seluruh England, Khairy ada datang ke rumah saya untuk mengucapkan tahniah. Beliau juga memaklumkan Institut Sukan Negara (ISN) ada satu projek khas untuk saya bagi membantu saya melakukan persiapan menghadapi Kejohanan Dunia.

Beliau sedar yang usia saya semakin meningkat dan sebab itu ISN ada buat perancangan khas bagi membantu saya sentiasa dalam prestasi terbaik. Usaha yang dilakukan beliau membuat saya merasakan sangat dihargai. Saya tidak sangka menteri sendiri boleh fikir sampai macam ini untuk membantu saya.

Saya berasakan penat lelah saya berjuang untuk mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa dihargai. Saya tahu, tidak kira saya kalah atau menang, akan ada orang yang bersama saya. Terima kasih kepada menteri.

Penulis adalah pemain badminton nombor satu dunia


Trending

    Disyorkan