Jumaat, 23 Jun 2017 - 6:31PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Suri rumah dikurung 27 hari, 18 penculik ditahan

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof


KULAI: Seorang suri rumah yang diculik di Johor Bahru dan dikurung 27 hari dalam sebuah rumah ladang di Pulau Batam, Indonesia, berjaya dibebaskan polis Malaysia semalam.

Berikutan itu, polis berjaya menahan 12 individu di Johor Bahru, enam lagi di Batam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa pulang dengan selamat.

Katanya, mangsa diculik di rumahnya pada jam 3.30 pagi pertengahan bulan lalu dan dibawa ke Pulau Batam sebelum dikurung di sana, tetapi mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Hasil kerjasama pihak keluarga juga kes ini tidak dihebahkan, tiada publisiti dan selepas 27 hari polis berjaya mengesan mangsa dan menahan individu terbabit.

"Penculik ada meminta wang tebusan, tetapi saya tidak mahu mendedahkannya... jumlahnya memang besar. Apa pun saya berterima kasih kepada pihak polis Singapura dan Indonesia atas usaha sama menyelesaikan kes ini dan esok saya akan bertemu rakan sejawat saya dari Indonesia di Langkawi bagi membincang lanjut perkara ini, " katanya.


TAN Sri Khalid Abu Bakar pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat penambahbaikan dan perluasan sistem pusat Unit Risikan Jenayah di sini, hari ini. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat penambahbaikan dan perluasan sistem pusat Unit Risikan Jenayah di sini, hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim dan Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Zakaria Ahmad.

Dalam perkembangan lain, Khalid turut mengaitkan kejayaan itu dengan satu lagi kes penculikan di Petaling Jaya membabitkan individu bernama Pastor Raymond Koh Keng Joo, Februari lalu.

"Kes penculikan pastor berbeza. Terlalu banyak publisiti diberikan sehingga polis kini buntu dan belum ada petunjuk baharu dalam siasatan berhubung kes berkenaan.

"Saya minta semua pihak termasuk media, badan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana pihak untuk menutup mulut (tidak menghebohkan) dan bagi ruang pada polis menjalankan siasatan," katanya.


Trending

    Disyorkan