Khamis, 30 Mac 2017 - 12:43PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

PAS Selangor bincang tahaluf siyasi dengan PKR

Oleh Khairul Azran Hussin


SHAH ALAM: Cawangan PAS Selangor akan membahaskan usul untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR dalam mesyuarat agung di kawasan masing-masing.

Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Syarhan Humaizi Abd Halim, berkata ia akan dibincangkan secara teliti oleh ahli di peringkat cawangan, sebelum pihaknya menilai sejauh mana perkembangan isu terbabit.


KETUA Pemuda Dewan Pemuda PAS Selangor, Syarhan Humaizi Abd Halim. - Foto fail NSTP/Yazit Razali

"Malah, seperti yang disuarakan oleh Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), hubungan bersama PKR sedang dikaji secara serius dan akan dibawa ke dalam Muktamar Tahunan PAS nanti," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Sebelum ini, PAS Permatang Pauh dan Bayan Baru, Pulau Pinang meluluskan usul untuk memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR berikutan tindakannya yang sering membelakangkan PAS dalam membuat sebarang keputusan.

Selain itu, Dewan Pemuda PAS Tumpat, Kelantan ketika meluluskan usul sama, turut kecewa dengan tindakan PKR yang terus menjalin hubungan dengan musuh PAS, iaitu DAP dan Parti Amanah Negara.

Ditanya mengenai hubungan dengan DAP, Syarhan berkata keputusan PAS memutuskan hubungan dengan DAP adalah tepat kerana sikap pemimpinnya yang sering menyentuh sensitiviti orang Islam.

"Kita yakin, masyarakat bukan Islam dalam kalangan Tionghua (Cina) sendiri tidak menyukai sikap DAP. Keharmonian kaum yang ada serta pengamalan agama masing-masing sebelum ini, tidak pernah mencetuskan suasana campur tangan dalam urusan keagamaan.

"Isu lain boleh dimainkan oleh DAP akan tetapi apabila menyentuh isu agama ini, ia ibarat mengganggu sarang tebuan," katanya.


Trending

    Disyorkan