Ahad, 26 Mac 2017 - 3:50AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Keunikan seni bina tipologi Gamuda Land

Oleh Shahrizan Salian



PENGARAH FARM Singapore, Tiah Nan Chyuan menerangkan reka bentuk rumah yang akan dibangunkan oleh Gamuda Land. - Foto Salhani Ibrahim

REKA bentuk yang menarik bagi hartanah premium semakin menjadi perhatian sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pemaju hartanah dan firma seni bina saling bekerjasama untuk menghasilkan idea kreatif yang memecahkan tradisi kediaman, dalam usaha memikat golongan pembeli rumah moden.

Gamuda Land, antara pemaju hartanah terkemuka tempatan yang sinonim dengan pembangunan perbandaran Kota Kemuning adalah antara yang terkehadapan dalam menghasilkan reka bentuk rumah yang kreatif.

Bagi projek akan datang syarikat, Gamuda Land baru-baru ini bekerjasama dengan firma seni bina kreatif dari Singapura, FARM Singapore bagi menghasilkan reka bentuk baharu rumah yang lebih moden serta bersesuaian dengan budaya masyarakat Asia.

Pengarah FARM Singapore, Tiah Nan Chyuan, berkata kerjasama itu membabitkan kajian tipologi yang dibuat oleh syarikatnya untuk menghasilkan pelbagai reka bentuk yang mungkin boleh digunakan bagi pembangunan akan datang Gamuda Land.

"Kajian yang dibuat sejak tahun lalu itu berjaya menghasilkan 100 reka bentuk tipologi rumah yang sesuai dibangunkan oleh Gamuda Land pada masa akan datang," katanya dalam satu temubual bersama BH, baru-baru ini.

Beliau berkata, kajian itu membabitkan reka bentuk yang menghasilkan pencahayaan, pengudaraan dan kawasan taman yang maksimum untuk rumah yang bakal dibina.

Ia juga memaksimumkan fungsi rumah yang bersesuaian dengan keperluan pembeli, mengikut budaya masyarakat Asia.

Tiga pembangunan akan datang Gamuda Land bakal menggunakan reka bentuk ruang yang mendapat inspirasi daripada kajian tipologi oleh FARM.

Pembangunan itu adalah Gamuda Gardens, twentyfive.7 and Gamuda Cove.

Gamuda Gardens adalah pembangunan pelbagai guna 327 hektar yang menggabungkan gaya hidup moden dan kaya alam sekitar di bawah satu bandar satelit.

Ia menampilkan lima tasik yang diintegrasikan bersama sebuah taman seluas 20 hektar dengan air terjun serta perkampungan runcit yang meriah.

Disasarkan kepada pembeli bujang, baru berkahwin, keluarga dan pasangan yang meniti usia emas, kediaman itu dirancang di dalam tiga zon iaitu Homes by the Park, Lakeside Homes and Hilltop Homes dengan beberapa presint akan dilancarkan dari masa ke masa.

Setiap presint akan menampilkan unit terhad dinamakan "Hero", mendapat inspirasi daripada kaji selidik tipologi oleh FARM, dengan bahagian hadapan yang amat menawan bagi menarik pembeli yang mahu menyerlahkan keunikan individu.

Projek twentyfive.7 pula adalah pembangunan gaya hidup reka bentuk "avant-garde" yang menawarkan konsep butik runcit, unit makanan dan minuman (F&B) selain ruang sosial untuk aktiviti komuniti, hiburan dan gaya hidup.

Rumah di twentyfive.7 menampilkan reka bentuk menarik bagi pemilik rumah moden alaf baharu dan golongan muda kreatif bagi membolehkan komunitinya berkongsi idea serta inspirasi.

Projek twentyfive.7 menggunakan tipologi "Light House" dan "Flexi House", di mana kedua-duanya menawarkan bahagian hadapan rumah dan warna yang pelbagai, sekali gus menghasilkan gambaran premium kepada kejiranan berkenaan.

"Flexi House" adalah kediaman bertanah dua kunci pertama di Malaysia dengan unit tunggal di tingkat bawah dan unit berkembar di tingkat atas.

Ia mempunyai ruang parkir lima kereta.

"Light house" pula menampilkan ruang keluarga berganda, minimum 70 peratus pencahayaan semula jadi untuk semua ruang di dalam rumah dan cahaya matahari di atas ruang tamu.

Lorong belakang rumah yang padat ciri mesra alam sekitar pula menggalakkan interaksi, selain menambah nilai estetika untuk keseluruhan kejiranan.

Sementara itu, Projek Gamuda Cove di Cyberjaya pula masih lagi dalam peringkat perancangan.

INFO

Gamuda Gardens

Lokasi: Sungai Buloh Utara

GDV: RM10.1 bilion

Pelancaran: Mei 2017

twentyfive.7

Lokasi: Kota Kemuning

GDV: RM3.8 billion

Pelancaran: Suku ketiga 2017

Gamuda Cove

Lokasi: Barat Cyberjaya

GDV: RM12.9 bilion

Pelancaran: Suku keempat 2017


Trending

    Disyorkan