Khamis, 25 Mei 2017 - 1:50AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

LIMA'17 terbesar sepanjang 14 edisi penganjuran

Oleh Alzahrin Alias



HISHAMMUDDIN bersama Tiong Lai (tiga dari kanan) dan Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin ketika hadir di majlis minum petang bersama media di kapal KD Jebat bersempena LIMA 2017 di Resort World, Langkawi. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

LANGKAWI: Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2017 (LIMA'17) yang akan bermula esok disifatkan sebagai yang terbesar pernah dianjurkan sepanjang tempoh 14 edisi penganjuran temasya dwi-tahunan itu sejak 1991.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata selain pertambahan peserta pameran daripada 512 pada edisi lalu berbanding 555 kali ini, jumlah keluasan tapak pameran juga bertambah 15,000 meter persegi kepada 119,209 meter persegi.

"Penyertaan jumlah aset juga menunjukkan peningkatan sangat menggalakkan berbanding  edisi lalu...ini menjadikan pameran LIMA'17 yang terbesar pernah dianjurkan setakat ini.

"Selain itu pada edisi kali ini, kita turut menyaksikan pertambahan peserta pameran dari sektor komersial sebanyak 240," katanya ketika majlis minum petang bersama media di kapal KD Jebat sebentar tadi.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar.

Hishamuddin berkata, pihaknya berbangga kerana 25 syarikat besar berkaitan aeroangkasa dan ketenteraan turut mengambil bahagian dalam pameran kali ini.

LIMA'17 berlangsung mulai 20 hingga 25 Mac ini dengan segmen aeroangkasa berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di Padang Matsirat, manakala segmen maritim pula di Tanjung Malai.


Trending

    Disyorkan