Sabtu, 27 Mei 2017 - 9:55PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Bazli UNIC sayu lihat anak lawan kanser Lymphoma

Oleh Feride Hikmet Atak



BAZLI bersama isterinya, Asiah bergilir-gilir menjaga Syahid.

KUALA LUMPUR: Anggota kumpulan nasyid UNIC, Bazli Hazwan, 33, mengakui cukup sayu melihat keadaan anaknya, Muhammad Syahid, 4, yang lemah selepas menjalani rawatan kemoterapi bagi melawan kanser Lymphoma dihidapinya.

Bazli berkata, keadaan anaknya agak serius, lebih-lebih lagi apabila bahagian dalam mulut kanak-kanak itu dijangkiti ulser sehingga menyebabkan kedua-dua pipinya membengkak dan tidak boleh makan seperti biasa.

"Hari ini adalah hari yang paling teruk. Pada mulanya saya pelik, kenapa Syahid sukar minum sehingga muntah, tetapi apabila menggunakan tiub,

dia baik-baik saja. Rupa-rupanya ada ulser pada mulutnya, sampaikan kulit bibir kering dan pipi pula bengkak.

"Jadi doktor terpaksa memberi morfin untuk membolehkannya tidur. Kalau tidak, dia akan terseksa," katanya kepada BH Online.

Syahid kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani rawatan kemoterapi selama setahun.

Kanak-kanak itu disahkan menghidap kanser tahap ketiga selepas mengalami bengkak kecil pada bahagian leher, ketiak dan paru-paru pada Disember tahun lalu.

Sementara itu, Bazli terharu apabila ramai yang berkongsi penderitaan Syahid di laman sosial dan mendoakan agar anaknya itu kembali sihat.

"Saya sendiri tidak sangka ia menjadi viral di laman sosial. Semua ini kerana rakan-rakan artis dan keluarga yang berkongsi keadaan anak saya di laman sosial masing-masing.

"Kerana perkongsian itu juga, ramai yang datang melawat Syahid. Alhamdulillah, terima kasih di atas doa dan sokongan yang diberi.

"Apapun saya anggap ini sebagai dugaan buat kami sekeluarga. Walaupun saya rasa Syahid sedang berdepan dengan dugaan besar, ada lagi kanak-kanak lain yang mengalami sakit yang lebih teruk daripadanya," katanya.

Syahid ialah cahaya mata hasil perkahwinan Bazli dengan isterinya, Asiah Abu Bakar, 27. Pasangan itu turut mempunyai seorang lagi anak, Muhammad Assfan, yang kini berusia sembilan bulan.


Trending

    Disyorkan