Selasa, 25 April 2017 - 10:39PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Dua projek PNBD di Kota Seriemas dapat sambutan

Oleh Mohd Amin Jalil



MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad diberi penerangan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PNBD, Mohd Saleem Kailany (kiri) mengenai projek perumahan mampu milik di Kota Seriemas Golf & Country Club, Kota Seriemas, Nilai. - Foto Mohd Amin Jalil

PNB Development Sdn Bhd (PNBD), anak syarikat Permodalan Nasional Bhd (PNB) melancarkan dua projek hartanah terbaharu, Kota Seriemas Golf & Country Club (KSGCC) dan projek perumahan Mawar Indah di Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan.

Ketua Eksekutif PNBD, Mohd Saleem Kailany, berkata KSGCC adalah padang golf 18 lubang yang dibina di kawasan seluas 62 hektar yang menyediakan pelbagai kemudahan termasuk rumah kelab yang eksklusif.

  Beliau berkata, projek perumahan Mawar Indah pula menawarkan 182 unit rumah teres dua tingkat yang dijual pada harga kompetetif bermula daripada RM414,000 hingga RM750,000.

  "KSGCC yang dibuka pada Oktober tahun lalu berjaya menarik perhatian ramai pemain golf amatur serta profesional tempatan dan luar negara, malah dipilih menjadi medan beberapa pertandingan bertaraf antarabangsa.

  "Kami juga gembira dengan perkembangan Mawar Indah yang mencatatkan jualan 30 peratus sebelum pelancarannya," katanya selepas majlis perasmian Rumah Kelab KSGCC dan projek perumahan Mawar Indah, di KSGCC, baru-baru ini.

Majlis itu disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.


DATUK Seri Mohamad Hasan melakukan gimik pukulan golf sebagai merasmikan Kota Seriemas Golf & Country Club di Kota Seriemas Nilai sambil disaksikan Datuk Seri Mat Ali Hassan, Tan Sri Abdul Wahid Omar, dan Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman. - Foto Mohd Amin Jalil

  Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan, Datuk Jalaluddin Alias; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan; Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Pengerusi PNBD, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

  Mohd Saleem berkata, secara keseluruhan, pembangunan Kota Seriemas membabitkan kawasan seluas lebih 971 hektar dengan sasaran kira-kira 60,000 orang penduduk bakal mendiami perbandaran itu dalam tempoh 15 tahun akan datang.

  Mengulas lanjut, beliau berkata, pada November tahun lalu, pihaknya melancarkan 127 unit rumah projek Mawar Qaseh iaitu rumah teres dua tingkat berharga antara RM390,000 hingga RM589,000 dan sudah habis dijual.

  Sementara itu, Mohamad berkata, pihaknya yakin pembangunan hartanah baharu di Kota Seriemas bukan saja menjadi pemangkin kepada kemajuan di kawasan sekitar, malah memberi limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan.

  Beliau berkata, pihaknya mengucapkan syabas kepada PNBD kerana membangunkan kawasan itu dengan perancangan yang baik dan cekap membolehkan penduduk menikmati hidup yang lebih berkualiti.

Info:
KSGCC:

* Padang Golf 18 lubang

* Cetusan idea bekas Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid 

* Dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk restoran, dewan seminar, bilik orang kenamaan dan surau

Mawar Indah:

* 182 unit rumah teres dua tingkat

* Harga antara RM414,000 hingga RM750,000

MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bergambar bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan; Pengerusi Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Pengerusi PNB Developement, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman sempena majlis perasmian Kota Seriemas Golf & Country Club di Kota Seriemas, Nilai. - Foto Mohd Amin Jalil

Trending

    Disyorkan