Ahad, 26 March 2017 | 8:10pm

MIHAS 2017 akan tingkatkan aliran masuk FDI

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka menerima pelaburan langsung asing (FDI) lebih tinggi dalam segmen halal dari negara yang mengambil bahagian dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia Ke-14 (MIHAS) dari 5 hingga 8 April ini.


MOHAMMAD Aminuddin Sham Tajudin. - Foto Syarafiq Abd Samad

Pengarah Unit Makanan, Biotech dan Halal Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Mohammad Aminuddin Sham Tajudin, berkata Malaysia telah membantu banyak negara melalui infrastruktur industrinya untuk mengeluarkan produk halal dan mengeksportnya ke negara Dunia Ketiga.

"Misalnya, Thailand, antara pengeluar makanan dan minuman halal, telah bekerjasama dengan kita untuk melengkapkan perniagaan halal mereka.

"Selain Thailand, Jepun juga ingin mendapatkan kepakaran Malaysia dalam industri halal untuk meningkatkan segmen halalnya, terutama dalam persiapan bagi Sukan Olimpik Tokyo 2020," katanya.

Beliau berkata, MATRADE menyertai Foodex Japan 2017 pada awal bulan ini dan membawa bersama sekurang-kurangnya 10 syarikat halal tempatan untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka di sana.

Mohammad Aminuddin berkata, inisiatif itu bertujuan untuk menunjukkan keupayaan Malaysia dalam industri halal dan bekerjasama dengan syarikat Jepun supaya mereka dapat mengimport lebih banyak produk halal dari Malaysia.

"Kami turut memperluaskan kerjasama kami ke peringkat kerajaan," katanya, sambil menambah terdapat negara lain yang memanfaatkan MIHAS sebagai platform untuk memasuki negara lain.

Beliau berkata, terdapat sambutan amat menggalakkan daripada syarikat tempatan bagi acara itu kerana mereka tidak mahu melepaskan peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara.

Gerai pameran menerima lebihan langganan daripada syarikat Malaysia dan disebabkan permintaan meningkat, keutamaan akan diberikan kepada mereka walaupun Mihas adalah acara antarabangsa, katanya.

Syarikat tempatan terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana hingga multinasional, dan terdapat beberapa syarikat besar termasuk Mamee, Brahim's dan Nestle.

"Syarikat tempatan perlu sedia untuk eksport dan dapat menyesuaikan kapasiti untuk menampung permintaan," katanya, sambil menambah 348 daripada 615 gerai pameran di Mihas akan menempatkan peserta pameran tempatan.

Sementara itu, 31 negara, termasuk Malaysia akan menyertai MIHAS tahun ini. Peserta pameran dari luar negara termasuk dari Chile, Tunisia, New Zealand dan Filipina.

Mohammad Aminuddin berkata, semua pihak ingin mengambil bahagian berikutan industri halal global bernilai AS$3.7 trilion (kira-kira RM18.1 trilion).

Beliau berkata mulai tahun depan, MIHAS akan menyediakan ruang yang lebih besar berikutan ia akan berpindah ke Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), lokasi pameran terbesar di negara ini.

Pada tahun ini, MIHAS menjangka jualan akan meningkat kepada antara empat dan lapan peratus berbanding RM1.14 bilion pada tahun lalu.

- BERNAMA

Berita Harian X