Rabu, 24 Mei 2017 - 5:53PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

2 universiti, 4 agensi perintis program Gap Year

Oleh Ahmad Suhael Adnan

 

PETALING JAYA: Dua universiti awam (UA) dan empat agensi dipilih untuk menjadi kumpulan pertama dan perintis bagi pelaksanaan program 'GAP Year 2017' atau satu tahun cuti daripada pengajian bagi pelajar universiti.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan mula menawarkan program itu kepada pelajar tahun kedua dan ketiganya bermula September ini.

Katanya, pelajar akan diberi peluang bekerja dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sepanjang tempoh berkenaan.

"Program Gap Year yang sedang kita laksanakan sekarang adalah berkonsepkan perkhidmatan pada negara dengan kerjasama agensi keselamatan.

"Dalam tempoh satu tahun cuti itu, pelajar akan ditetapkan sebagai kadet polis ataupun askar, atau bekerjasama dengan APM.

"Ini adalah program sukarelawan yang boleh memastikan pelajar kita memperkukuhkan lagi perpaduan, mengeratkan kasih sayang dan semangat patriotisme kepada negara serta sukarelawan dalam kalangan pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Pendidikan Malaysia Ke-21 di sini, hari ini.

Program Gap Year itu akan memberi tempoh 'berehat' selama setahun kepada pelajar yang berminat menyertai empat agensi keselamatan berkenaan yang akan menawarkan peluang pekerjaan khas untuk mereka.

Pelajar yang terpilih kemudian akan menjalani tempoh latihan selama sebulan, sebelum menjalankan tugas sepenuhnya untuk tempoh setahun, sebelum kembali menyambung pengajian di universiti masing-masing.

Idris berkata, kementerian akan memberi maklumat lanjut mengenai pelaksanaan program Gap Year 2017 dalam masa terdekat.

 


MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. - Foto Hafiz Sohaimi


Trending

    Disyorkan