Jumaat, 28 April 2017 - 8:15PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

SL1M bantu 99,000 belia dapat kerja

Oleh Nurul Nadira Shaari


KUANTAN: Lebih 99,000 belia termasuk graduan berjaya dibantu mendapatkan pekerjaan di sektor kerajaan dan swasta melalui Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) sejak pelaksanaannya pada tahun 2011.

Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rahamat Bivi Yusoff, berkata program berkenaan adalah inisiatif kerajaan membantu graduan dan pencari kerja untuk mendapatkan maklumat mengenai pekerjaan yang ditawarkan di negara ini.

"Mereka yang menyertai program ini diberi pengetahuan berkaitan kemahiran berkomunikasi, berfikir secara kritis serta teknik menyesuaikan diri dengan persekitaran organisasi dan jenis pekerjaan.

"SL1M yang diadakan di Universiti Malaysia Pahang (UMP), dekat sini adalah program kedua tahun ini bagi peringkat Zon Pantai Timur dan lebih 10,000 jenis pekerjaan membabitkan 100 syarikat kerajaan dan swasta ditawarkan kepada graduan dan belia di sekitar negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Program Temu Duga Terbuka SL1M Peringkat Zon Pantai Timur 2017 di UMP Kampus Gambang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UMP,Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim dan Ketua Sekretariat SL1M, Jabatan Perdana Menteri, Norashikin Ismail.

Rahamat berkata, program berkenaan membuka peluang kepada mereka yang masih mencari pekerjaan membuat permohonan di sektor swasta tanpa bersikap memilih pekerjaan sebaliknya mengambil peluang berkenaan untuk berada dalam sesebuah syarikat.

Katanya, faktor memilih pekerjaan dan takut untuk keluar daripada zon selesa adalah punca utama kadar pengangguran dalam kalangan graduan di negara ini meningkat.

"Kerajaan sudah menyediakan pelbagai inisiatif untuk membantu golongan ini, tetapi mereka sendiri juga perlu bersikap terbuka dan berani untuk mencuba dalam mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian," katanya.


Trending

    Disyorkan