Selasa, 27 Jun 2017 - 6:23PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

INSP sasar jana jualan lebih RM400 juta

Oleh Nasuha Badrul Huzaini



PENGARAH Kanan Akses Pasaran dan Kerjasama Antarabangsanya, Abu Bakar Koyakutty. - Foto Saddam Yusoff

KUALA LUMPUR: Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) menyasar jualan melebihi RM400 juta.

Pengarah Kanan Akses Pasaran dan Kerjasama Antarabangsanya, Abu Bakar Koyakutty, berkata sebahagian besar daripada sasaran jualan itu dijangka dijana oleh sektor makanan dan minuman.

Katanya, jumlah itu lebih kecil daripada yang diperoleh pada tahun lalu iaitu sebanyak RM478.66 juta.

Beliau berkata, ia disebabkan oleh jumlah syarikat pembeli yang lebih kecil pada tahun ini iaitu 172 syarikat asing dari 46 negara.

"Ini kerana pada tahun ini kami hanya mementingkan penyertaan yang berkualiti dan bukannya berdasarkan kuantiti. Fokus kami juga adalah untuk meneroka pembeli dan pasaran baharu," katanya pada sidang media pelancaran program itu di sini, hari ini.

Lebih 500 syarikat tempatan turut sama mengambil bahagian dalam program berkenaan.

Dalam program yang berlangsung selama sehari itu, MATRADE akan mengaturkan sebanyak 2,200 mesyuarat perniagaan antara syarikat tempatan dan syarikat asing.

Tambahnya lagi, tahun ini buat pertama kalinya, INSP turut disertai oleh empat syarikat yang menawarkan perkhidmatan kewangan Islam.

"Ia menunjukkan minat yang semakin meningkat dalam kalangan syarikat untuk meneroka lebih mendalam mengenai perkhidmatan halal dan ia sekali gus membuktikan aspek halal lebih daripada makanan dan minuman," katanya.

Antara syarikat asing yang mengambil bahagian termasuk dari China, Australia, India, Jepun, Thailand, Vietnam, Korea, Poland dan Arab Saudi.

Sementara itu, MIHAS 2017 akan berlangsung mulai esok hingga 8 April ini dan akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Ia dijangka dikunjungi lebih 25,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.

Info:

* MIHAS yang bermula pada tahun 2004 adalah pameran dagangan halal terbesar di dunia.


Trending

    Disyorkan