Khamis, 27 April 2017 - 11:08AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

850 pempamer sertai Festival Makanan Malaysia 2017

Oleh Fahmy Azril Rosli

 


MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Asas Tani buat julung kalinya akan menganjurkan pesta makanan antarabangsa iaitu Festival Makanan Malaysia 2017 yang bakal dimeriahkan kira-kira 850 pempamer dari dalam dan luar negara.

 

Pesta makanan terbesar negara itu bakal berlangsung pada 28 September hingga 1 Oktober depan di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

 

Ia adalah salah satu acara sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK 2017).

 

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata pihaknya yakin festival itu bakal melonjakkan landskap industri makanan negara dengan mempromosikan secara komersial ke peringkat yang lebih tinggi setanding makanan antarabangsa.

 

Beliau berkata, festival ini bukan sahaja bermatlamat menonjolkan keunikan makanan yang dipengaruhi kepelbagaian budaya, malah turut diselitkan pameran teknologi makanan, kaedah penyediaan makanan dan Agro-Pelancongan.

 

"Antara pengisian lain bagi memeriahkan lagi festival ini adalah pameran agroteknologi, jualan hasil segar seperti buah dan sayuran, seminar, bengkel, konsert serta pengalaman Gastronomik bagi yang menggemari 'outdoor fine dining'.

 

"Ini adalah satu ekspo hidangan dari seluruh negara dan menawarkan kepelbagaian produk makanan dalam usaha menghargai usaha seluruh komuniti industri makanan Malaysia.

 

"Melalui festival ini juga, pelawat dapat mendalami pengetahuan mengenai pengeluaran, penghasilan dan persembahan makanan di Malaysia," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pavilion MoA di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

 

Masa sama, Ahmad Shabery turut mengambil peluang melancarkan Festival Makanan Malaysia 2017.

 

Sementara itu, mengulas penemuan oleh penduduk Bukit Aup, dekat Sibu mengenai sejumlah besar kepak ayam ditanam, Ahmad Shabery berkata, pihaknya sudah menghubungi Menteri Permodenan Pertanian & Ekonomi Luar Bandar, Datuk Amar Douglas Uggah.

 

Beliau enggan mengulas lanjut kerana perkara itu masih dalam siasatan.


Lagi Berita:

Trending

    Disyorkan