Jumaat, 26 Mei 2017 - 7:34PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Pelaburan industri halal mampu capai RM15b

Oleh Mohd Zaky Zainuddin



TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan tangan sebagai gimik pelancaran sambil disaksikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Ong Ka Chuan (dua dari kiri), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (dua dari kanan), Pengerusi MATRADE, Datuk Noraini Ahmad (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Mohd Shahreen Zainooreen Madros (kiri) pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia ke-14 (MIHAS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Malaysia berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran pelaburan terkumpul dalam industri halal mencecah RM15 bilion menjelang 2020 bersandarkan kepada ekosistem kukuh industri halal di negara ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata setakat ini nilai pelaburan terkumpul industri halal negara sejak 2015 dianggarkan mencecah RM11 bilion.

Katanya, pencapaian itu jelas menunjukkan pertumbuhan positif untuk mencapai sasaran yang ditetapkan kerajaan.

"Dengan sasaran yang ditetapkan semakin hampir untuk direalisasi, Malaysia juga optimis untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai hab halal global memandangkan ketika ini hanya negara kita yang memiliki ekosistem industri lengkap.

"Ekosistem halal kita adalah inklusif termasuk dari segi perkhidmatan perbankan dan kewangan patuh syariah. Kita juga memiliki persijilan halal diiktiraf di peringkat dunia," katanya selepas majlis pelancaran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2017 (MIHAS 2017) di sini, hari ini.

MIHAS dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Yang turut hadir, Menteri MITI II, Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Ir Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros.

Sementara itu, MIHAS yang memasuki penganjuran kali ke-14 dijangka mencatat pertumbuhan jualan sehingga lapan peratus daripada RM1.14 bilion yang diraih tahun lalu.

MIHAS 2017 yang disertai 33 negara termasuk Malaysia berlangsung sehingga Sabtu ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Acara tahun ini menampilkan empat kluster utama iaitu makanan dan minuman, bukan makanan, perkhidmatan berlandaskan syariah serta kluster terbaru, e-dagang.

Mustapa berkata, kluser e-dagang menjadi salah satu agenda penting dalam industri halal ketika ini kerana ia digunakan secara meluaskan dan mampu meningkatkan perdagangan industri halal dunia pada masa depan.

INFO:

Nilai pasaran halal global

* AS$3.7 trilion menjelang 2019

Nilai eksport produk halal Malaysia

* RM39.3 bilion pada 2016

MIHAS

* Catat jualan terkumpul RM13.1 bilion sejak 2004

* Pengunjung dari 70 negara

* Pempamer dari 57 negara


Trending

    Disyorkan