Khamis, 27 April 2017 - 11:08AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Galak lebih banyak perkhidmatan, produk bukan makanan sertai MIHAS

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berharap lebih banyak perkhidmatan dan produk bukan makanan dipamerkan di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) sebagai sebahagian daripada keseluruhan ekosistem halal.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir Dr Mohd Shahreen Madros Zainooreen berkata selain makanan, minat terhadap pembungkusan, kosmetik, gaya hidup dan fesyen Islam, serta farmaseutikal mendapat sambutan amat menggalakkan dari negara-negara di Eropah, Jepun dan Korea Selatan.


Ir Dr Mohd Shahreen Madros Zainooreen. - Foto fail NSTP/Salhani Ibrahim

Beliau berkata, ini menunjukkan yang status halal dan patuh Syariah menjadi satu elemen penting bagi menguasai pasaran global.

"Trend ini berkembang tahun demi tahun di MIHAS dan kita perlu melihat menjangkaui produk makanan dan pengguna.

"Sebagai contoh, minat yang semakin meningkat terhadap gaya hidup dan fesyen Islam boleh menyediakan peluang bagi golongan muda tempatan dalam industri kreatif untuk mengembangkan potensi mereka di peringkat dunia," katanya kepada media pada Majlis Anugerah MIHAS di sini, hari ini.

Ketika ini, nisbah antara produk dan perkhidmatan makanan dan bukan makanan ialah kira-kira 80 berbanding 20.

Selain itu, Mohd Shahreen berkata, produk biodiversiti tempatan juga menjadi elemen menarik di MIHAS, meletakkan bioteknologi tempatan sebagai satu daripada bahagian tumpuan oleh pembeli asing di acara itu.

Beliau berkata e-dagang, yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan pemain industri kecil dan sederhana (IKS) adalah satu lagi platform yang perlu diteroka dengan lebih meluas kerana ia tidak memerlukan kos yang tinggi dan akan memudahkan capaian usahawan ke pasaran global.

Sementara itu, mengenai Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) yang dianjurkan sebagai sebahagian daripada MIHAS, beliau berkata ia meraih jualan lebih RM280 juta, membabitkan 418 syarikat sedia-eksport Malaysia dan 172 syarikat asing dari 46 negara termasuk China, India dan Jepun.

"Bagi INSP, sebanyak 2,064 mesyuarat perniagaan diadakan, secara langsung antara pembeli dan penjual. Kita seharusnya mengekalkan program ini kerana ia membantu meningkatkan secara langsung aktiviti perdagangan eksport kita," katanya.

Beliau berkata walaupun angka jualan itu lebih rendah berbanding sasaran RM400 juta, penjual tempatan dapat memperoleh rangkaian yang lebih baik daripada pembeli asing berkualiti tinggi.

Mengenai anugerah MIHAS yang sudah enam kali dianjurkan, Mohd Shahreen berkata, ia bertujuan untuk mengiktiraf inovasi, kreativiti dan usaha para pempamer tempatan dan asing yang telah merancang acara ini sejak awal tahun.

Lapan pemenang dipilih bagi lima kategori anugerah.

Pemenang emas, perak dan gangsa bagi Produk Makanan dan Minuman Paling Inovatif dirangkul masing-masing oleh FFM Marketing Sdn Bhd, Vit Makanan Halal dan Biotropics Malaysia Bhd.

Bagi Produk Bukan Makanan dan Perkhidmatan Paling Inovatif, Bursa Malaysia Bhd memenangi anugerah emas, manakala Hijrah Water Sdn Bhd dan Nordic 24/7 Services (dari Finland), masing-masing meraih anugerah perak dan gangsa.

Swiss Lab Bitoech Sdn Bhd memenangi anugerah Reka Bentuk Petak Pameran Terbaik Malaysia dan Jepun memenangi Pavilion Negara Terbaik.

Sejumlah 56 penyertaan diterima bagi anugerah itu daripada 580 pempamer dari 33 negara yang menyertai MIHAS 2017.

Edisi ke-14 MIHAS diadakan dari 5-8 April di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - BERNAMA


Trending

    Disyorkan