Sabtu, 24 Jun 2017 - 10:03PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Dr Siti Aisyah saintis wanita lonjakkan imej Malaysia

Oleh Mahani Ishak



SITI Aisyah lalui pengalaman hebat lakukan penyelidikan di kutub dan kulat laut di Antartika. - Foto Nurul Shafina Jemenon

KUALA LUMPUR: Penyelidikan mengenai kulat laut di Antartika pada tahun 2000, bukan saja melonjakkan nama Prof Madya Dr Siti Aisyah Alias, tetapi turut menaikkan imej Malaysia di mata dunia.

Saintis dan pensyarah Institut Lautan dan Sains Bumi, Institut Pengajian Siswazah, Universiti Malaysia (UM) ini disenaraikan antara 100 saintis wanita terkemuka dunia dari 30 negara dalam bidang sains Antartika, selain anugerah saintis muda kebangsaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada 2001.

Dr Siti Aisyah berkata, pengalaman itu paling berharga berikutan tidak ramai saintis dunia menjalankan penyelidikan terbabit.

"Kepercayaan ini menjulang kredibiliti saintis wanita Islam dan negara Asia, sekali gus melonjakkan kepentingan kajian dalam bidang mikologi.

"Ini kerana kulat polar adalah penunjuk biologi terhadap perubahan cuaca dunia iaitu hasil tindak balas terhadap pendedahan kepada suhu tinggi dan radiasi sinaran ultra ungu, termasuk dari segi fisiologi, kimia dan cirinya," katanya kepada BH, baru-baru ini.


BIDANG penyelidikan Siti Aisyah ke atas kulat membabitkan tiga kumpulan iaitu kulat laut, kulat polar dan trichomycete. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Tertarik kaji biologi kulat

Dr Siti Aisyah berkata, mikologi adalah bidang kajian biologi terhadap kulat, dari segi kepelbagaian spesis, ekologi, genetik, biokimia dan kepentingannya kepada alam sekitar dan manusia sebagai sumber makanan dan ubatan.

"Bidang penyelidikan beliau ke atas kulat membabitkan tiga kumpulan iaitu kulat laut, kulat polar dan trichomycete iaitu spesies yang kurang dikaji.

"Saya tertarik mengkaji kulat secara mendalam kerana tidak banyak penyelidikan dilakukan mengenai hidupan seni itu, selain melihatnya sebagai tersembunyi dan misteri," katanya.

Bertitik tolak dari situ, anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan ini, melanjutkan pengajian ijazah kedoktoran (PhD) dalam bidang kajian kulat laut di United Kingdom (UK) yang dibiayai UM.

"Saya melanjutkan pengajian di University of Portsmouth kerana negara kita tidak mempunyai kepakaran dalam bidang kulat laut, meletakkan misi untuk terus melakukan kajian berkaitan hingga sekarang.

"Selain AAD, saya turut diberi peluang mengkaji kulat di Artik, Ny Alesund, Svalbart pada 2007 oleh Korean Polar Research Institute (KOPRI) dan Polish Polar Department (PPD) bagi ekspedisi Stesen Hornsund pada 2010," katanya.


SITI Aisyah menunjukkan hasil kajiannya ketika ditemui di Universiti Malaya, baru-baru ini. - Foto Nurul Shafina Jemenon


SITI Aisyah menerangkan hasil penyelidikan kepada pelajarnya di Universiti Malaya. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Jejaki Kutub Utara dan Selatan

Disebabkan kajian kulat, beliau merasai pengalaman menjejakkan kaki di Kutub Utara dan Kutub Selatan serta lautan bagi mendapatkan sumber kulat sebagai kerja lapangan.

"Ekspedisi ini sangat mencabar dari segi profesional, kekangan fizikal, moral dan fisiologi. Antaranya siang yang panjang dan matahari tidak pernah tenggelam, cuaca dan tiupan angin ekstrem.

"Kumpulan saintis ini pernah dipanggil balik ke stesen dan dalam perjalanan, kapal khas itu diliputi bongkah ais, pengalaman ngeri hingga merasakan tidak berpeluang kembali ke Malaysia," katanya.

Katanya, ketinggian wanita Asia dan kekangan sebagai penganut Islam, memerlukan penyesuaian diri, sekali gus menyelami perbezaan budaya dan adat resam.

"Misalnya segi saiz, ketinggian, amat sukar bagi saya untuk menaiki Hugland dan kapal penyelamat kerana ketinggian tertentu diperlukan untuk memanjat masuk. Selain itu, kekuatan fizikal penting kerana berjalan 12 jam tanpa henti dan banyak cabaran lain," katanya.


SAINTIS dan pensyarah Institut Lautan dan Sains Bumi, Institut Pengajian Siswazah, Universiti Malaysia, Prof Madya Dr Siti Aisyah Alias. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Lalui pelbagai cabaran

Dr Siti Aisyah menegaskan cabaran turut dilalui apabila sukar mengasingkan kulat di makmal kajian kerana kulat dari kedua-dua kutub mempunyai kadar tumbesaran yang amat perlahan dan memerlukan suhu yang bersesuaian.

"Bukan itu saja, kepercayaan mereka terhadap kemampuan kita juga penting, misalnya institusi penyelidikan kutub utara dan selatan seperti AAD, KOPRI, PPD Institute Antartico Chileano (INACH) dan Institute Antartiko Ecuatorino (INAE) memberi peluang untuk menyertai ekspedisi saintifik kepada kumpulan penyelidik Malaysia secara percuma.

"Kerjasama erat dengan British Antartic Survey (BAS) juga membuktikan kemantapan dan kekuatan kumpulan penyelidik kita," katanya.

Beliau berkata, ekspedisi ke kutub seperti ini tidak memerlukan kos yang tinggi, contohnya bagi AAD pada tahun 2002, seorang saintis hanya membabitkan kos RM168,000 sehari (Dolar Australia 50,000).

INFO
Projek yang diketuai di peringkat kebangsaan dan antarabangsa

  • Perbandingan Tindakbalas dan Penyesuaian Kulat Antartika dan Tropika Yang Disebabkan Oleh Perubahan Suhu Udara-Lautan Dan Uvr., Ketua Penyelidik (MOSTI)
  • Diversiti kulat tanah Dari Maritim dan benua Antartika dan metabolit sekunder sebagai adaptasi kepada alam sekitar ekstrem. Ketua Penyelidik.

    Geran Penyelidikan Universiti Malaya.

  • Filogeni, taksonomi, hubungan dan potensi bioteknologi kulat "sooty".


Trending

    Disyorkan