Selasa, 11 April 2017 | 12:38pm

Bantah karikatur Nanyang Siang Pau


NAIB Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kelantan, Mohd Arif Abdullah (tiga kanan) bersama ahli Dewan Pemuda PAS Kelantan, menunjukkan keratan akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau secara terbalik serta gambar lukisan kartun yang mencetuskan kemarahan pihaknya kerana kebiadapan dan penghinaan yang dibuat melalui karikatur kepada Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang ketika mengadakan bantahan secara aman di Dataran Tambatan Diraja. - Foto Faris Zainuldin

KOTA BHARU: Pemuda PAS Kelantan mengadakan perhimpunan bagi membantah tindakan akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau, menyiarkan karikatur menghina Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mereka yang berhimpun sejak jam 9.30 pagi itu turut membakar akhbar terbabit sebagai simbolik bantahan.

Naib Ketuanya, Mohd Arif Abdullah, berkata walaupun akhbar berkenaan sudah mengeluarkan kenyataan maaf berhubung perkara itu namun ia masih tidak mencukupi kerana mungkin mengulanginya.

"Pemuda PAS bersama penyokong hari ini, menyatakan tidak puas hati terhadap kebiadapan Nanyang Siang Pau yang sengaja mengeluarkan karikatur menggambarkan seorang ulamak dengan memakai serban dan menanam sentimen kebencian.

"Mereka sebuah (akhbar) lama di negara ini sepatutnya tahu menjaga sensitiviti agama dan tidak mudah mengeluarkan sebarang terbitan yang boleh menimbulkan kemarahan masyarakat," katanya ketika ditemui sebelum mengadakan gimik bantahan di Dataran Tambatan Diraja, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat, Lim Guan Seng dan Setiausaha DHPP Kelantan, R Hareetaran.

Sementara itu, Guan Seng berkata pihaknya kecewa dengan tindakan akhbar berbahasa Cina itu.

Beliau yang juga Pengerusi DHPP Kelantan, berkata perkara itu sepatutnya tidak berlaku kerana ia jelas menghina dan mencetuskan perasaan tidak puas hati kepada masyarakat majmuk di negara ini.

"Kita harap perkara ini tidak berulang dan menjadi pengajaran kepada semua pada masa akan datang," katanya.

Semalam, Nanyang Siang Pau dilaporkan sudah memohon maaf mengenai perkara itu dan mengakui penyiaran kartun itu adalah tidak wajar untuk tatapan umum.

GAMBAR lukisan kartun dari akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau yang mencetuskan kemarahan pihak Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kelantan kerana kebiadapan dan penghinaan yang dibuat melalui karikatur kepada Presiden PAS, Dtauk Seri Hadi Awang ketika mereka mengadakan bantahan secara aman di Dataran Tambatan Diraja. - Foto Faris Zainuldin
Berita Harian X