Rabu, 26 April 2017 - 2:34AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

DAP boleh tumbang di Pulau Pinang

Oleh Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah

KETIDAKMAMPUAN saliran longkang menampung curahan air hujan lebat menyebabkan berlaku banjir kilat. - Foto Danial Saad

SEJAK Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 hingga kini, pengaruh DAP di Pulau Pinang berkurangan disebabkan beberapa faktor. Walaupun ada sesetengah kerusi DAP dikatakan selamat di Pulau Pinang sebenarnya ia berkurangan 15 hingga 25 peratus di sebelah pulau, dibandingkan kerusi selamat di Seberang Prai, antara 25 hingga 35 peratus.

Isu kegagalan tebatan banjir yang menyebabkan beberapa kawasan di Pulau Pinang dilanda banjir kilat tahun lalu antara isunya Isu tebus guna tanah untuk projek perumahan di sekitar Pulau Mutiara menyebabkan nelayan hilang punca pendapatan.

Kedua-dua isu ini menjadi asas bermulanya ketidakpuasan terhadap kerajaan negeri DAP. Ini ditambah pula dengan isu keselamatan awam berpunca daripada dua kejadian tembak di khalayak umum dalam masa setahun lalu.

Situasi ini memperlihatkan kegagalan kerajaan negeri DAP dalam memastikan keselesaan, keharmonian dan keselamatan rakyat Pulau Pinang.

Peningkatan kos sara hidup yang agak tinggi berbanding dengan Kedah dan Perak menjadi perbualan isu dalam kalangan rakyat Pulau Pinang. Terdapat perbezaan harga keperluan makanan yang ketara antara Pulau Pinang dan Seberang Prai.

Harga makanan di Pulau Pinang sebenarnya boleh dikawal oleh kerajaan negeri tetapi kurang diambil perhatian. Jadi, situasi ini menyebabkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) meringankan bebanan hidup rakyat Pulau Pinang.

Ada juga ahli akar umbi DAP mempersoal implikasi kegagalan kerjasama dengan PAS tetapi suara bangkangan ditepis dengan hujah kurang diterima. Peratusan undi sokongan DAP pada PRU 2008 dan 2013 memang besar. Cuma, mengambil kira isu rasuah Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP, juga merobek sokongan rakyat Pulau Pinang kepada DAP.

Perkara ini ada siginifikan, iaitu menjurus kepada peralihan sokongan rakyat Pulau Pinang di sesetengah kawasan kepada Barisan Nasional (BN). Faktor lain membabitkan hasil satu kajian mendedahkan ketidakpuasan hati ke atas kerajaan negeri dalam kalangan ahli akar umbi DAP.

Antaranya, isu pemberian projek tender kepada kroni tertentu dan juga kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Walaupun ahli akar umbi bersetuju pada dasar kerjasama dengan Parti Amanah Negara (PAN), keraguan untuk tidak bersetuju bekerjasama dengan PPBM, amat besar.

Jadi, meskipun sokongan kepada DAP besar dalam PRU 2008 dan PRU 2013, sokongan ini ibarat bola salji yang menuruni bukit pasti retak dan pecah jika terhentak dengan batuan atau pokok yang menghalangi perjalanan laluannya. Ini yang berlaku di Seberang Prai dan beberapa kawasan di Pulau Pinang.

Daftar mengundi meningkat

Salah satu faktor utama kepada pemecahan bola salji ini disumbang oleh peningkatan pengundi Melayu di beberapa kawasan seperti Seberang Prai Utara dan Tengah, manakala di Pulau Pinang, pengundi Melayu turut meningkat di Barat Daya Pulau Pinang termasuk, kawasan Gelugor dan Jelutong.

Peningkatan pendaftaran pengundi di Pulau Pinang daripada 2004, iaitu 672 362 pemilih, 700 164 pemilih (2008), 834 730 pemilih (2013) dan pada melebihi 900,000 pada 2017. Daripada jumlah itu, pengundi Melayu meningkat 26 peratus pada 2004 kepada 35 peratus (2013) dan mencapai 44 peratus penghujung 2016.

Pengundi Cina pula menurun daripada 58 peratus pada 2004 kepada 53 peratus (2013) dan mencapai 47 peratus penghujung 2016. Bagi pengundi India, 13 peratus pada 2004 kepada 10 peratus (2013) dan 7 peratus pada penghujung 2016.

Peningkatan pengundi Melayu turut menyaksikan peningkatan kurang puas hati ke atas DAP. Banyak rungutan dan persoalan tanah kampung warisan Melayu diambil untuk pembangunan. Akibatnya ramai orang Melayu tidak mampu membeli rumah di kawasan yang dibangunkan oleh kerajaan negeri DAP disebabkan harga yang mahal.

Malahan, sebanyak 25 kampung warisan dihilangkan daripada peta Pulau Pinang. Ini tidak langsung menghakis kependudukan Melayu di pulau. Situasi ini menyedarkan orang Melayu bahawa janji DAP kepada mereka tinggal janji sahaja.

Selain itu, peluang perniagaan usahawan kecil dan penjaja dalam kalangan orang Melayu turut tergugat apabila beberapa syarat digunakan bagi membolehkan sesebuah kawasan menjadi tapak perniagaan.

Ini ditambah dengan pasar malam sedia ada sudah kurang mampu menampung pertambahan keusahawanan kecil-kecilan dan penjaja.

Pembangunan pesat menyebabkan alam sekitar dinodai dan menyebabkan banjir kilat disebabkan ketidakmampuan saliran longkang menampung curahan air hujan lebat dalam tempoh tiga jam.

Kerakusan tarahan bukit untuk pembangunan menyebabkan air turun lebih cepat. Contohnya, Bukit Gambir digondolkan sejak 2012.

Pertambahan pengundi

Sejak PRU 2004 hingga kini, lima kawasan Parlimen adalah kawasan majoriti pengundi Melayu iaitu Kepala Batas, Tasek Gelugor, Permatang Pauh, Nibong Tebal dan Balik Pulau. Parlimen Bagan, Bukit Mertajam, Batu Kawan, Bayan Baru, Gelugor dan Jelutong pula menyaksikan pertambahan pengundi Melayu melebihi 20 peratus pada penghujung 2016.

Hanya Parlimen Bukit Bendera dan Tanjong dikuasai pengundi Cina melebihi 60 peratus. Mengikut catatan DUN Pulau Pinang, majoriti Melayu melebihi 40 peratus adalah 12 DUN (2004), 14 DUN (2013) dan kini 18 DUN. Pertambahan keahlian PAS di Pulau Pinang turut meningkat antara 25 hingga 35 peratus. Diikuti pertambahan keahlian UMNO antara 20 hingga 30 peratus.

Jika dilihat daripada angka ini dan isu yang membabitkan kepemimpinan DAP, Pulau Pinang bakal berubah dalam PRU-14 jika adanya kerjasama antara UMNO dan PAS.

Ada ahli MCA dan GERAKAN yang menyokong DAP di Pulau Pinang. Mahu tidak mahu MCA dan GERAKAN perlu memastikan ahlinya taat dan wala kepada BN jika ingin merampas Pulau Pinang daripada DAP.

Penulis ialah Pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM


Trending

    Disyorkan