Rabu, 26 April 2017 - 2:28AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Dunia hampiri konflik berskala global

Oleh Mujibu Abd Muis

KAPAL pengangkut pesawat, USS Carl Vinson (CVN 70) berlayar di Selat Sunda pada 15 April lalu selepas Tentera Laut Amerika Syarikat mengumumkan penghantaran kumpulan tempur ke Semenanjung Korea bertujuan 'menunjukkan kekuatan' terhadap program senjata nuklear Korea Utara. - Foto Reuters

PERGESERAN antara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Russia, krisis di Asia Barat dan persaingan geopolitik di Asia Pasifik boleh jadi pencetus konflik global.

Konflik NATO-Russia bermula sekitar 2008 apabila Putin mengarahkan tenteranya menyerang Georgia, mengiktiraf kemerdekaan wilayah Ossetia Selatan dan Abkhazia dari Georgia dilihat permulaan baharu konflik di Eropah selepas era Perang Dingin.

Majalah Time menggunakan istilah 'Perang Dingin Kedua' pada 2014 yang menyifatkan Eropah bakal sekali lagi menuju keadaan itu. Sekiranya tidak ditangani dengan baik ia mampu bertukar menjadi konflik berskala global.

Tindakan Amerika syarikat (AS) baru-baru ini menempatkan sejumlah tentera disifatkan 'terbesar selepas era Perang Dingin' di Poland bagi mengawasi Eropah Timur, terutama Bulgaria, Estonia dan Romania, dibalas Russia menerusi pemindahan peluru berpandu berkuasa nuklear jenis Iskander-M ke pangkalan tentera lautnya di Kaliningrad dan Laut Baltik, cukup memberi bayangan bahawa ini bakal menjurus kepada sesuatu lebih serius.

Di Asia Barat, dasar luar AS di bawah George W Bush dan Barack Obama gagal menangani geopolitik rantau itu. Sejak kejatuhan Saddam Hussein di Iraq dan 'Arab Spring' meletus, AS gagal menstabilkan rantau itu. Pertukaran rejim dan meletakkan pemimpin boneka atau pro-AS bukan sahaja tidak berjaya, malah membawa rantau itu kepada satu vakum kuasa yang kemudian mencetus krisis dan ancaman baru.

Paling serius apabila vakum ini mencetuskan keganasan yang menular ke peringkat antarabangsa akibat ancaman Daesh. Perbalahan fahaman Sunnah-Syiah yang mengheret perang saudara terutama di Iraq dan Syria, akhirnya membuka jalan pembabitan kuasa lain.

Perang berskala besar

Kelemahan Obama menangani Daesh digunakan sepenuhnya Russia di Syria, tetapi cuba dimanfaatkan pentadbiran Trump dalam menunjukkan keupayaan beliau sebagai pemimpin selaras dengan matlamatnya 'menjadikan Amerika kembali hebat'. Lihat reaksi dua tokoh di bawah Trump, Setiausaha Negara, Rex Tillerson dan Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley yang mahu Assad dijatuhkan dengan apa cara sekalipun, menggusarkan Russia dan sekutunya, Iran. Sekiranya berlaku, ia mungkin mengheret rantau Asia Barat kepada perang proksi kuasa besar yang boleh mencetus perang berskala besar membabitkan agama.

Perkembangan Asia Pasifik, terutama Asia Timur juga mampu menyumbang kepada apa yang dibincangkan. Hubungan AS-China yang turun naik, terutama ketika Obama mengumumkan rancangan Pivot Asia dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) adalah faktor besar. Apabila Trump menggantikan Obama, persaingan geopolitik Asia Pasifik dijangka terus meningkatkan ketegangan sedia ada, terutama antara AS-China.

Lihat bagaimana Trump secara terbuka menekan Presiden China, Xi Jinping ketika pertemuan baru-baru ini di Florida malah, menerusi twitter, Trump menyatakan China harus membantu AS menyelesaikan krisis di Semenanjung Korea sekiranya mahu hubungan ekonomi dipertingkatkan.

Tindakan Pentagon menghantar kapal pembawa pesawat, USS Carl Vinson, dua pesawat pemusnah dan sebuah kapal perang selepas ujian peluru berpandu terbaru Korea Utara minggu lalu disambut ugutan oleh Pyongyang seperti dilaporkan akhbar Rodong Sinmun bahawa "mereka memantau penuh situasi itu dengan senjata nuklear Korea Utara akan ditumpukan kepada pangkalan tentera AS, bukan sahaja di pusat operasi Korea Selatan dan Pasifik, malah di Tanah Besar China" sememangnya menakutkan.

Apakah bayangan daripada perkembangan ini? Pertama jelas persaingan kuasa dan percaturan geopolitik di antara AS, Russia dan China sebagai kuasa besar tidak pernah luput, walaupun kemungkinan perang antara mereka berskala global masih jauh untuk berlaku dan agak sukar dibayangkan. AS kelihatan bergelut untuk mengekalkan hegemoninya yang pada ketika ini disaingi hebat kebangkitan baharu Russia dan China, bukan sahaja dari ekonomi, malah ketenteraan.

Impian China menggantikan AS sebagai kuasa besar dunia menerusi konsep 'Guanjun Guoji Genti' dengan melebarkan kekuatan ekonomi kepada kekuatan ketenteraan menakutkan Pentagon dan Rumah Putih. Namun, itu hanya bermaksud untuk menguatkan cengkaman China ke atas Laut China Selatan dan mengelak AS mencampuri urusan China di Timur Jauh, terutama ke atas Taiwan dan Korea Utara.

Amat sukar membayangkan perang antara AS dan China dalam tempoh terdekat. Kedua-dua AS dan China, sebagai rakan dagang utama akan mengalami kerugian ekonomi besar sekiranya berlaku peperangan. Pada masa sama, perang di Pasifik juga akan melumpuhkan perdagangan dan penguasaan laut, amat strategik bagi kepentingan geopolitik dan ekonomi China.

Peranan Russia di Asia Barat

Bagi Moscow, tanggapan AS di bawah Trump akan lebih 'mesra Russia' ternyata meleset. Kebimbangan AS terhadap perkembangan di Asia Barat, apatah lagi dengan peranan aktif Russia yang cuba mengisi vakum kuasa AS di Asia Barat dengan mengeksploitasi kelemahan pentadbiran Obama dalam menangani ancaman militan Daesh di Iraq dan Syria, sedang sedaya upaya ditangani pentadbiran Trump. Oleh itu, mengekalkan status quo serta mengurangkan perang saudara dan ancaman keganasan adalah cara terbaik memastikan ia dicapai.

Di Eropah pula, tindakan Trump yang tiba-tiba memuji NATO sebagai tidak lagi lapuk mengejutkan semua. Sebelumnya ketika berkempen bagi jawatan presiden, Trump mengejutkan Eropah dengan mengisytiharkan pakatan ketenteraan paling berjaya dalam sejarah adalah lapuk yang akan dikaji semula sekiranya dipilih sebagai Presiden. 'Pusingan-U' Trump ini melegakan NATO yang mahu terus melihat peranan AS dalam hubungan pertahanan transatlantik dan pada masa sama, mengekang Russia daripada mengancam negara Balkan dan Eropah Timur yang cuba menyertai Kesatuan Eropah (EU).

Dengan krisis ekonomi melembabkan Eropah dan tindakan Britain keluar EU, tentu Eropah tidak mahu ada lagi masalah baharu dalam masa terdekat dan masalah dengan AS antara yang mahu dielakkan. Melihat perkembangan ini, jelas konflik antara kuasa besar akan terus berlaku dan berubah sejajar dengan kehendak masa dan keadaan.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)


Trending

    Disyorkan