Jumaat, 26 Mei 2017 - 8:58PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

7,672 rumah RMR1M disiapkan tahun ini

Oleh Mohd Amin Jalil



DATUK Seri Mohamad Hasan (kiri) melihat model rumah sempena Pelancaran Rumah Mesar Rakyat Plus (RMRPlus) hari ini. - Foto BERNAMA

SEREMBAN: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan menyiapkan 7,672 unit Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) di seluruh negara, tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali, berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada 46,637 permohonan RMR1M yang sudah diluluskan.

Katanya, selain itu, 1,613 permohonan lagi kini di peringkat urusan melengkapkan dokumen perjanjian dan pembinaannya akan dimulakan apabila urusan itu selesai.

"Sehingga 31 Mac lalu, sebanyak 37,352 unit rumah RMR1M siap dibina dan sebanyak 11,703 lagi permohonan baharu dalam senarai menunggu.

"Bagi Negeri Sembilan sahaja, sebanyak 644 unit rumah RMR1M sedang dalam pembinaan," pada Majlis Pelancaran Rumah Mesra Rakyat Plus (RMRPlus) dan Penyerahan Sijil Kelayakan dan Inden Kerja RMR1M 2017, di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaluddin Alias.

RMR1M adalah pembinaan rumah berharga RM65,000, namun dijual pada harga RM45,000 selepas subsidi dengan kadar bayaran bayaran balik bulanan RM270 selama 25 tahun.

DATUK Seri Mohamad Hasan (dua dari kanan) diberi penerangan oleh Pengerusi SPNB Mesra Sdn Bhd, Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin (kanan) ketika melawat model rumah sempena Majlis Pelancaran Rumah Mesra Rakyat Plus (RMRPlus) hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPNB Datuk Azizi Ali (tiga dari kanan). - Foto BERNAMA

Trending

    Disyorkan