Rabu, 26 April 2017 - 2:30AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Boon Siew eksport motosikal Honda RS150R

Oleh Suffian A Bakar



HONDA RS150R. - Foto Mohd Yusni Ariffin

CYBERJAYA: Boon Siew Honda (BSH) memeterai perjanjian dengan Honda Motor Co Ltd (Honda Motor) bagi membolehkannya mengeksport model motosikal RS150R yang dipasang di Malaysia.

Motosikal itu dipasang di kemudahan Boon Siew Honda di Batu Kawan, Pulau Pinang.

Model RS150R dilancarkan pada Jun 2016 dan dijual secara rasmi kepada rakyat Malaysia pada Ogos 2016.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Nobuhide Nagata, berkata motosikal itu akan mula dieksport bulan depan.

"Kami menyasarkan 700 unit RS150R bakal dieksport pada tahun pertama.

"Ini ialah peluang terbaik bagi BSH kerana kami sudah mengkaji perniagaan eksport sejak beberapa tahun dan sekarang kami akhirnya sedia. Kami yakin dengan model Honda RS150R memandangkan ia antara model paling laris BSH.

"Kami mencapai 17,000 unit pengeluaran dalam hanya lapan bulan sejak dikeluarkan Ogos 2016," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dengan kekuatan perkongsian antara Honda Motor and BSH, kedua-dua pihak menyatukan visi mereka menawarkan motosikal inovatif dan boleh dipercayai kepada pengguna melalui perjanjian terbaharu itu.

Honda menguasai 26 peratus bahagian pasaran Malaysia setakat Mac 2017.


Trending

    Disyorkan