Rabu, 26 April 2017 - 2:27AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Penjelajah negara Ekspedisi KE7B lakar sejarah

Oleh Luqman Arif Abdul Karim


KUALA LUMPUR: Walaupun mengharungi pelbagai rintangan, tiga penjelajah negara Ekspedisi Kelab Eksplorasi Tujuh Benua (KE7B) Rentas Kutub Utara 2017 melakar sejarah apabila menamatkan misi lima hari lebih awal berbanding jadual asal.

Penasihatnya, Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof, berkata kejayaan itu dimaklumkan Ketua Penjelajah misi, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin menerusi panggilan telefon satelit, malam tadi.

Akmar berkata, dua lagi penjelajah yang menyertai misi berkenaan, iaitu atlit dualthlon dan triathlon negara, Shahrom Abdullah serta Muhammad Irwan Yusoff Abdulllah tiba di Titik 90 Darjah Kutub Utara pada jam 5.06 petang semalam, waktu tempatan (jam 11.06 malam, waktu Malaysia).

"Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana negara kita sekali lagi mencatat sejarah dengan kejayaan Qobin (Muqharabbin), Shahrom dan Irwan yang bukan sekadar memahatkan nama mereka sebagai penjelajah Kutub Utara, malah mengharumkan imej Malaysia di persada antarabangsa.

"Mereka bertiga membawa nama negara dan berski di Kutub Utara bersama beberapa penjelajah dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada", katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berdasarkan perancangan, Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Utara 2017 membabitkan penjelajahan berski dengan menarik beban kereta luncur salji (sledge) sejauh 111 kilometer yang memakan masa 11 hari bermula dari Stesen Barneo ke Titik 90 Darjah Kutub Utara.


TIGA penjelajah KE7B Rentas Kutub Utara 2017; Muhammad Muqharabbin Mokhtarruddin (kiri), Shahrom Abdullah (dua dari kanan) dan Muhammad Irwan Yusof Abdullah. - Foto ihsan KE7B


TIGA penjelajah negara Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Utara berjaya ke Titik 90 Darjah Kutub Utara jam 11.06 malam tadi waktu Malaysia, awal lima hari dari jadual. - Foto ihsan KE7B

Kumpulan penjelajah Malaysia itu berlepas ke Oslo, Norway pada 4 April lalu, dan berada di Longyearbyen, Svalbard, Norway selama seminggu bersama pasukan sokongan diketuai Akmar, selain beberapa wakil media dari TV3 dan The New Straits Times Press Bhd (NSTP).

Ketiga-tiga penjelajah kemudian memulakan misi berski dari Stesen Barneo di Kutub Utara ke Titik 90 Darjah itu pada 14 April lalu.

Akmar berkata, ketiga-tiga penjelajah negara diketuai Muhammad Muqharabbin itu berupaya menamatkan misi dalam tempoh enam hari, berbanding 11 hari seperti dijadualkan.

"Lebih manis, kejayaan menamatkan penjelajahan hari ini adalah hadiah cukup bermakna kepada Qobin yang menyambut hari ulang tahun kelahiran ke-35, semalam," katanya.

Akmar berkata, Muhammad Muqharabbin ketika menceritakan suka duka misi itu menyifatkan baki tiga kilometer terakhir menuju Titik 90 Darjah adalah paling mencabar kerana terpaksa berdepan rekahan ais lebar, sekali gus menyukarkan perjalanan untuk menyeberangi kawasan terbabit.

Selain itu, katanya, penjelajahan pada hari ketiga diganggu seekor beruang kutub yang menghampiri khemah anggota kumpulan lain hingga menyebabkan mereka terpaksa berjaga setiap masa.

"Antara detik cemas terpaksa ditempuhi adalah mengharungi pecahan bongkah ais sehingga memaksa pasukan penjelajah berulang kali mengangkat 'sledge' (kereta luncur salji) dan berdepan risiko terjatuh ke dalam air laut kerana ketebalan ais hanya antara tiga hingga empat meter.

"Perjalanan mereka agak terganggu berikutan kawasan yang mula mencair hingga menyebabkan ada bahagian ais terpisah dengan air laut menjangkau jarak 30 meter.

"Oleh itu, mereka perlu mencari laluan alternatif, kira-kira lapan batu (12.9 kilometer) untuk mengelak permukaan ais yang mula mencair ke garisan penamat," katanya.

Sebaik menamatkan penjelajahan, Akmar berkata, semua penjelajah menaiki helikopter dari titik 90 Darjah Kutub Utara ke Stesen Barneo yang mengambil masa kira-kira 35 minit.

Bagaimanapun, katanya, Muhammad Muqharabbin memaklumkan mereka perlu segera keluar dari Stesen Barneo dengan penerbangan khas ke Longyearbyen, Norway memandangkan landasan terbang ais di stesen berkenaan mula retak dan cair.


Trending

    Disyorkan