Jumaat, 21 April 2017 | 5:52pm

PM ucap tahniah kepada 3 penjelajah Kutub Utara


DATUK Seri Najib Razak merakamkan ucapan tahniah kepada tiga penjelajah negara yang berjaya menamatkan misi penjelajahan ke titik 90 darjah Kutub Utara dalam misi Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Utara 2017, kata perdana menteri dalam catatan di laman Twitternya, hari ini. - Foto ihsan Twitter najib Tun Razak

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak merakamkan ucapan tahniah kepada tiga penjelajah negara yang berjaya menamatkan misi penjelajahan ke titik 90 darjah Kutub Utara dalam misi Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Utara 2017.

"Alhamdulillah, saya dimaklumkan tiga penjelajah kita ke Kutub Utara telah selamat menyempurnakan misi mereka. Tahniah!" kata perdana menteri dalam catatan di laman Twitternya, hari ini.

Ketua Penjelajah, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin, 35, Shahrom Abdullah, 38, dan Muhammad Irwan Yusoff Abdullah, 37, menamatkan misi tersebut pada jam 5.06 petang semalam waktu Kutub Utara atau 11.06 malam tadi waktu Malaysia.

Berdasarkan perancangan, Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Utara 2017 membabitkan penjelajahan berski dengan menarik beban kereta luncur salji sejauh 111 kilometer yang dijadual memakan masa 11 hari, bermula dari Stesen Barneo ke titik 90 darjah Kutub Utara.

Bagaimanapun, ketiga-tiga penjelajah Malaysia itu menamatkan misi mereka dalam tempoh enam hari sahaja.

Kumpulan penjelajah negara itu berlepas ke Oslo, Norway pada 4 April lalu sebelum berpangkalan di Longyearbyen, Svalbard, Norway selama seminggu bersama pasukan sokongan, diketuai Penasihat KE7B Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof dan turut disertai beberapa wakil media dari TV3 dan NSTP.

Ekspedisi ke Kutub Utara itu adalah aktiviti ekspedisi keenam KE7B selepas Ekspedisi KE7B Tujuh Puncak Tujuh Benua 2010, Ekspedisi KE7B Renangan Perpaduan Selat Inggeris 2012, Ekspedisi KE7B Felda Everest 2013, Ekspedisi KE7B Merentas Greenland 2014 dan Ekspedisi Jelajah KE7B Kutub Selatan 2015-2016. - BERNAMA

Berita Harian X