Jumaat, 26 Mei 2017 - 7:20PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Hafizh harap aksi kompetitif di GP AS

Oleh Khairil S Iswan



PENUNGGANG Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah. - Foto Goh Thean Howe

KUALA LUMPUR: Penunggang Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah berharap dapat menampilkan aksi lebih kompetitif pada perlumbaan pusingan tiga MotoGP di Grand Prix (GP) (AS) Amerika Syarikat, bermula malam ini.

Selepas dua pusingan, Hafizh ketika ini sekadar mengutip lima mata yang diraihnya di GP Argentina, dua minggu lalu ketika aksi di pusingan pertama berakhir mengecewakan selepas terjatuh.

Sekali pun pernah mendapatkan keputusan yang baik di Litar AS pada 2015, prestasi pelumba pasukan PETRONAS Raceline Malaysia itu pada tahun lalu jelas merosot apabila menamatkan saingan di tempat ke-16.

Keputusan itu memaksanya menamatkan perlumbaan tanpa sebarang mata.

"Saya bekerja lebih keras sebagai persediaan untuk perlumbaan pada minggu ini dan secara asasnya sudah bersedia untuk mengharungi cabarannya.

"Tahun lalu agak sukar bagi saya kerana saya banyak bergelut dengan masalah pelarasan. Saya mahu segala-galanya baik sejak daripada sesi pertama dan meningkat bermula daripada sana, "

kata pelumba kelahiran Ampang, Selangor itu.

Turut mengharapkan keputusan lebih baik pada minggu ini dalam saingan Moto2 ialah pelumba pasukan Honda Asia, Khairul Idham Pawi yang masih belum mengutip sebarang mata kejuaraan setakat ini.

Pada perlumbaan pembuka tirai di Qatar, Khairul Idham atau SuperKIP menamatkan saingan di tempat ke-28 sebelum mengakhiri saingan di Argentina di kedudukan ke-24.

Sementara itu, pelumba tunggal negara dalam Moto3, Adam Norrodin yang 'berguru' di AS sejak dua minggu lalu bersama bekas pelumba MotoGP, Colin Edwards turut mengharapkan keputusan lebih baik buatnya pada tahun ini.

Pada tahun lalu, pelumba SIC Racing Team itu memulakan perlumbaan di petak keenam, namun menamatkan saingan tanpa sebarang mata selepas terjatuh.

"Litar Amerika bukan litar yang mudah. Ia mempunyai banyak selekoh dan amat teknikal namun saya seronok berlumba di sana. Prestasi kami agak baik pada tahun lalu ketika sesi latihan dan kelayakan dan jika tidak kerana insiden ketika perlumbaan, saya fikir kami boleh menamatkan perlumbaan di kedudukan yang baik.

"Saya teruja untuk melihat apa yang kami boleh lakukan pada tahun ini. Saya gembira dengan pelarasan jentera kerana kami tahu sedikit perubahan perlu dilakukan kerana litar ini berbeza dengan Qatar dan Argentina, " kata Adam


Trending

    Disyorkan