Khamis, 27 April 2017 | 5:12pm

Skim kawalan harga sebelum Ramadan


MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin. - Foto Mohd Fadli Hamzah

KOTA KINABALU: Skim kawalan harga musim perayaan akan dilaksanakan lebih awal tahun ini iaitu sebelum puasa, antara lain bagi memastikan harga barangan keperluan tidak dinaikkan sesuka hati ketika pengguna membuat persiapan menyambut Ramadan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin, berkata strategi baharu kementeriannya itu juga bertujuan memastikan bekalan barangan keperluan pengguna mencukupi menjelang Ramadan, bukan hanya ketika menghampiri sambutan Aidilfitri.

"Lazimnya, skim kawalan harga musim perayaan hanya dilaksanakan kira-kira 10 hari sebelum sambutan sesuatu perayaan, sebagai contoh Hari Raya. Bagaimanapun kali ini, kita akan laksanakan lebih awal iaitu pada bulan puasa dan bukan hanya tujuh hari sebelum perayaan hingga tiga hari selepas perayaan.

"Ini kerana orang ramai juga memerlukan barangan kawalan pada bulan puasa dan bukan hanya menjelang Hari Raya.

"Kita mahu semua pihak mematuhi pelaksanaan skim itu dalam aspek barang mencukupi dan mengikut harga yang ditetapkan," katanya kepada media selepas Program Penerangan Isu Semasa Berkaitan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Jainab Ahmad.

Beliau bagaimanapun berkata, maklumat terperinci berkaitan strategi itu termasuk berkaitan skim kawalan harga akan diumumkan sebelum Ramadan bulan depan.

Mengenai sama ada harga petrol dan diesel di negara ini akan mencecah meningkat sehingga RM10 seliter jika harga minyak mentah dunia naik dengan begitu drastik, beliau berkata, kerajaan ada formula tertentu berkaitan perkara terbabit.

"Kita tidak akan membiarkan saja perkara ini jika harga minyak di pasaran dunia naik...kita ada formula untuk memberi keselesaan kepada rakyat. Apabila tiba masanya kita akan melaksanakan formula itu," katanya.

Mengenai program penerangan itu, beliau berkata ia bertujuan memastikan semua program yang dilaksanakan KPDNKK dapat difahami rakyat.

Berita Harian X