Jumaat, 28 April 2017 | 5:47pm

Malaysia negara ke-42 paling gembira di dunia

KUALA LUMPUR: Malaysia kini berada di kedudukan ke-42 negara paling gembira di dunia tahun ini daripada 155 buah negara menurut Laporan Kegembiraan Dunia 2017 Gallup World Poll, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, laporan yang disiarkan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu baru-baru ini menyaksikan Malaysia berjaya naik lima anak tangga daripada kedudukan ke-47 tahun lalu.

Katanya, pengiktirafan itu sangat menarik kerana Malaysia mendahului negara-negara maju seperti Jepun, Russia, Itali, Korea Selatan dan China.

"Laporan ini adalah daripada hasil kajian di 155 buah negara di seluruh dunia. Kedudukan kita ini dinilai berdasarkan faktor kebebasan, taraf pendapatan, kesihatan dan tahap kebajikan.

"Hal ini menunjukkan bahawa tahap kegembiraan tidak selalunya seiring dengan kemajuan. Tiada gunanya kita berpendapatan tinggi tetapi tidak gembira," katanya menerusi laman blognya, NajibRazak.com, sebentar tadi.

Najib berkata, kegembiraan adalah perkara subjektif dan pastinya berbeza mengikut setiap individu tetapi ia akan menyuntik semangat untuk meneruskan kehidupan seharian kita dengan jaya.

Secara tidak langsung katanya, kegembiraan adalah matlamat asas bagi setiap orang dalam hidup tanpa mengira bangsa, agama, jantina, umur, status ataupun pekerjaan.

"Ada yang gembira kerana dapat pergi bercuti merata tempat, ada yang gembira kerana bahagia bersama keluarga, ada yang gembira kerana perniagaan maju dan sebagainya.

"Memang penting untuk meningkatkan produktiviti dengan bekerja keras tetapi jangan sampai mengakibatkan tekanan emosi yang melampau.

"Tenangkan fikiran dengan beriadah dan meluangkan masa bersama keluarga supaya kita dapat mengimbangi antara keceriaan dan kemajuan diri sendiri," katanya.

Berita Harian X