Isnin, 29 Mei 2017 - 9:28PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Jangan putus hubungan baik Sabah dan Persekutuan: TPM

Oleh Suzianah Jiffar



DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto Edmund Samunting

SIPITANG: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada mana-mana pihak mampu memutuskan hubungan baik antara Sabah dan kerajaan Persekutuan sekiranya rakyat terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan sedia ada.

Timbalan Perdana Menteri berkata, adalah rugi jika ada atau tokoh tertentu cuba merosakkan hubungan baik terjalin ketika ini yang memudahkan usaha membangunkan negeri ini dilaksanakan.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Sabah tidak melayan mana-mana pihak yang cuba menggugat perpaduan di negeri ini.

"Hanya kerajaan yang kuat boleh membantu dan membawa pembangunan kepada rakyat.

"Sabah adalah untuk rakyat Sabah dan kita ikhlas dalam memperkuatkan kepemimpinan sedia ada... jangan cuba ganggu gugat atau menggoncangkan perpaduan sedia ada, jangan cuba robohkan.

"Sebaliknya kita perlu menolak mereka yang cuba berbuat demikian, yang ada unsur mahu mengganggu, biarkan mereka kerana mereka terganggu mental dan tidak perlu dilayan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Antarabangsa Gasing dan Tamu Besar (GATA) 2017 kali ketujuh di Gata Square, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin dan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan Persekutuan komited terus membantu kerajaan Sabah demi kepentingan rakyat di negeri ini.

"Kita tidak mahu sesebuah rumah rosak kerana ada anai-anai mahu merosakkan dinding atau binatang buas merosakkan bumbung dan tikus cuba merosakkan lantai.

"Sebaliknya kita perlu perbetulkan dinding, bumbung dan lantai jika sayangkan rumah dan jika sayangkan Malaysia serta Sabah," katanya.


Trending

    Disyorkan