Selasa, 27 Jun 2017 - 3:02AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

SkyWorld bangun Pusat Kualiti

Oleh Nora Mahpar



FADILLAH (dua dari kanan) dan Ahmad Fauzi (kanan) mendengar penerangan daripada Ng mengenai projek perumahan SkyWorld pada majlis perasmian Pusat Kualiti di Setapak, Kuala Lumpur. - Foto Eizairi Shamsudin

PEMAJU hartanah bandar, SkyWorld Development Group (Skyworld), melancarkan Pusat Kualiti di Setapak, Kuala Lumpur membabitkan nilai pelaburan RM3.8 juta.

Pusat Kualiti berkeluasan 13,000 kaki persegi itu berfungsi sebagai penanda aras kepada kualiti pembinaan untuk semua projek Skyworld di negara ini.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Ng Thien Phing, berkata seiring dengan matlamatnya untuk mentransformasikan bandar dan memberikan pengalaman kehidupan yang berkualiti, syarikat komited menawarkan residensi bernilai tinggi dengan kemudahan pelbagai.

"Pusat Kualiti ini akan menyediakan ruang pameran berkaitan kualiti hasil kerja kami seperti kemasan dinding dan lantai. Ia juga akan membantu pembeli untuk mengenalpasti kualiti yang tidak boleh dibayangkan dalam bentuk visual.

"Pusat Kualiti pertama di Malaysia ini juga akan digunakan sebagai pusat latihan dan didikan bagi kakitangan kami serta perkongsian hab untuk juru perunding dan jurutera awam Skyworld.

"Ia juga terbuka kepada orang awam, pelajar universiti, pembeli berpotensi yang mahu mengetahui lebih mendalam mengenai sektor pembinaan di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Kualiti by Skyworld di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan disaksikan oleh Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari.

Dalam ucapan perasmian, Fadillah berkata, pusat kualiti itu diharap menjadi pemangkin kepada pemaju hartanah lain untuk mengikuti jejak Skyworld dalam membina kediaman berkualiti sekali gus membantu kerajaan dalam usaha membina negara bangsa yang lebih baik pada masa depan.

Projek yang dijangka siap pada September 2017 itu menempatkan lounge, auditorium mini dengan kapasiti 30 orang dan bilik pameran.

Info

  • SkyWorld ditubuhkan pada 2008.
  • Bakal lancar 4 atau 5 projek pada separuh kedua 2017 dengan GDV RM1.6 bilion.


Trending

    Disyorkan