Selasa, 27 Jun 2017 - 6:18PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Juliana selamat bergelar isteri Tengku Shariffuddin Shah

Oleh Zaidi Mohamad



JULIANA Evans, 27, selamat melangsungkan perkahwinan dengan pilihan hatinya, Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah.- Foto ihsan Instagram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara popular, Juliana Evans, 27, selamat melangsungkan perkahwinan dengan pilihan hatinya, Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah, 29, di sebuah lokasi yang tidak didedahkan, hari ini.

Majlis pernikahan itu bagaimanapun dipercayai berlangsung di Shah Alam, Selangor.

Menerusi kenyataan dikirimkan kepada BH Online, Juliana atau nama sebenarnya Juliana Sophie Johari Evans selamat diijab kabul dengan suaminya, yang juga kerabat diraja Johor dan Selangor itu dengan sekali lafaz pada jam 10.45 pagi tadi.

Pasangan terbabit dinikahkan oleh Imam Masjid Istana Alam Shah Klang, Imam Paduka Tuan Mohd Rasid Mahful.

Pelakon filem Bella dan Jamie itu tidak mengikat tali pertunangan sebelum disatukan dengan pasangannya sebagai suami isteri.

Selepas selesai acara akad nikah, Juliana meluahkan kesyukuran kerana hari bersejarah mereka berjalan lancar, dengan dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua pihak.

"Alhamdulillah, saya kini sah bergelar isteri Tengku Shariffuddin Shah. Saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab dalam kehidupan rumah tangga.

"Saya juga berharap agar peminat terus mendoakan kebahagiaan kami," kata Juliana yang akan meneruskan aktiviti seni seperti biasa selepas ini.

Juliana dan Tengku Shariffuddin Shah mula berkenalan sejak dua tahun lalu.

Majlis resepsi pasangan terbabit dijangka diadakan selepas Aidilfitri.


Trending

    Disyorkan