Khamis, 11 Mei 2017 | 2:04pm

Pergi Pyongyang: Penyokong, kerajaan perlu putuskan kata TMJ


Tunku Ismail Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini menyerahkan kepada penyokong dan kerajaan Malaysia untuk menentukan sama ada skuad bola sepak negara perlu ke Korea Utara atau sebaliknya.

Ia berikutan keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang mengumumkan perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 peringkat Kumpulan B antara Malaysia dan Korea Utara yang ditunda pada 8 Jun ini akan tetap diadakan di Pyongyang.

"Saya ingin menjelaskan sedikit tentang isu berhubung perlawanan Pusingan Akhir Kelayakan 'AFC Asian Cup UAE' 2019 Peringkat Kumpulan B yang akan diadakan di Pyongyang, Korea Utara pada 8 Jun 2017 nanti," kata Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam satu kenyataan hari ini.

"Seperti mana sedia maklum, kerajaan Malaysia tidak menggalakkan pasukan Harimau Malaya untuk pergi ke negara Korea Utara disebabkan oleh isu diplomatik yang sedang berlaku sekarang ini.

"Walau bagaimanapun, sehingga kini kerajaan Malaysia tidak ada mengeluarkan sekatan perjalanan cuma nasihat mengenai perjalanan (Travel Advisory) dan itu tidak mencukupi untuk Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk menukarkan venue perlawanan asal ke venue neutral," katanya.

Tunku Ismail berkata selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), beliau amat mengambil berat berkenaan isu keselamatan pemain negara dan agak sukar baginya dalam situasi ini untuk melepaskan mereka ke sana.

"Apa-apa pun saya sebagai Presiden FAM tidak setuju sama sekali untuk kami pergi ke Korea Utara tetapi keputusan tersebut terletak pada kerajaan dan Menteri Sukan.

"Bagi saya keutamaan adalah keselamatan rakyat Malaysia. Kami harus membuat keputusan untuk meletakkan keselamatan rakyat sebagai agenda pertama dan bukan membuat keputusan berdasarkan situasi politik.

"Perkara ini terletak kepada apa kerajaan Malaysia dan penyokong bola sepak tanah air inginkan," katanya.

Berita Harian X