Rabu, 28 Jun 2017 - 1:27AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Jaringan minit akhir Fabregas kecewakan Watford


CESC Fabregas (kanan) meledak gol kemenangan pada minit ke-88. - Foto Reuters

LONDON: Pemain gantian, Cesc Fabregas meledak gol kemenangan pada minit ke-88 buat Chelsea bagi memastikan juara baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mengenepikan Watford, 4-3 dalam aksi penuh yang menarik di Stamford Bridge.

Kapten pasukan, John Terry, yang akan meninggalkan The Blues pada akhir musim ini, membuat penampilan ke-716 untuk kelab dengan jaringan pembukaan, tetapi selepas itu dipersalahkan atas jaringan penyamaan Eteinne Capoue.

Cesar Azpilicueta dan Michy Batshuayi meletakkan Chelsea kembali mendahului 3-1 sebelum Daryl Janmaat dan Stefano Okaka membalas jaringan buat Watford.

Tetapi perancang tengah Sepanyol Fabregas memastikan skuad bimbingan Antonio Conte terus berada pada landasan untuk muncul selaku pasukan pertama mencatat 30 kemenangan daripada 38 perlawanan liga semusim.

"Saya gemar melihat permainan seperti ini kerana ia satu jenaka untuk melihat kedua-dua pasukan menjaringkan empat dan tiga gol - ketika anda sudah pun menjuarai liga," kata Conte.

"Kami berpeluang memenangi 30 perlawanan dan sasaran itu menjadi misi seterusnya."

Conte membuat sembilan pertukaran dalam kesebelasan utamanya selepas hampir sepenuh musim mengerah keringat barisan pemain tonggaknya.

Ia adalah kali pertama Chelsea dibolosi tiga gol di laman sendiri sejak tumpas 0-3 di Manchester City pada April 2016.

Bagaimanapun, jaringan emas Fabregas membolehkan Chelsea yang juga pemenang enam gelaran EPL meraih 90 mata buat kali ketiga dalam sejarah kelab terbabit.

Sementara itu, ia menjadi detik malang buat skuad Watford kendalian Walter Mazzarri apabila mengalami kekalahan kelima berturut-turut selepas Sebastian Prodl dibuang padang pada masa kecederaan gara-gara mengutip kad kuning kedua. - AFP


Trending

    Disyorkan