Selasa, 27 Jun 2017 - 6:18PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Saya pasti dipecat jika di Barca, Bayern: Guardiola


PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola. - Foto AFP

MANCHESTER: Pep Guardiola merasakan dia pasti dipecat sama ada oleh Barcelona atau Bayern Munich seandainya mengambil kira keputusan musim pertamanya sebagai pengurus Manchester City.

Guardiola memenangi 14 trofi sepanjang empat musim di Nou Camp dan tujuh dalam tempoh tiga tahun bersama Bayern.

Dia tidak pernah menamatkan kempen liga di kedudukan lebih rendah daripada tempat kedua sewaktu mengemudi Barcelona selain menjuarai Bundesliga sepanjang tiga musim.

Tetapi pengendali dari Sepanyol itu jelas bergelut dalam musim pertamanya di England ketika ini.

Guardiola kini hanya berpeluang menutup kempen EPL dalam kedudukan ketiga terbaik. Dia juga akan menamatkan saingan tanpa trofi buat kali pertama sebagai pengendali pasukan.

"Saya amat tertekan ketika mula dilantik sebagai pengurus Barcelona, kerana tidak mempunyai sebarang reputasi untuk mempertahankan diri," kata Guardiola.

"Jika dalam tempoh enam bulan anda tidak menang, anda pasti dipecat. Di Barcelona atau Bayern Munich anda perlu menang. Jika tidak, tiada lagi peluang kedua buat anda.

"Di sini mereka memberi saya peluang kedua dan kami akan cuba melakukannya," tambahnya.

"Dalam situasi saya di kelab besar: "Jelas sekali, saya akan dipecat."

Guardiola menyertai City dengan kontrak selama tiga tahun pada Julai lalu selepas meninggalkan Bayern Munich, dan masih mendapat sokongan penuh pemilik kelab Sheikh Mansour dan pengerusi kelab, Khaldoon al Mubarak. - AFP


Trending

    Disyorkan