Selasa, 16 Mei 2017 | 3:44pm

Hadiahkan pakej haji kepada bekas guru


SETIAUSAHA politik PM, Datuk Jailani Ngah (dua dari kiri) bersama bekas guru dan rakan sekolah menengah Agama Batu Rakit ketika mengadakan lawatan di Kampung Teluk Ketapang. - Foto Aslina Abu Bakar

KUALA NERUS: Sambutan Hari Guru tahun ini bermakna buat seorang bekas guru Bahasa Arab Sekolah Menengah Agama Batu Rakit, Syed Abd Hamid Syed Ali, apabila menerima hadiah mengerjakan haji daripada bekas pelajarnya.

Bekas pelajar Syed Abd Hamid yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah, mengunjungi rumah bekas gurunya itu hari ini dan menyampaikan berita gembira itu.

Syed Abd Hamid, 58, dari Kampung Teluk Ketapang berkata beliau tidak menyangka akan menerima pemberian itu selepas meluahkan hasrat menunaikan haji ketika berbual sebelum ini dengan Jailani.

"Kami berbual dan (saya) meluahkan keinginan menunaikan haji. Saya tidak sangka beliau terus menawarkan saya untuk ke Tanah Suci dengan menggunakan kuotanya pada tahun ini.

"Hadiah ini adalah satu penghargaan yang saya tidak pernah terfikir dan cukup bermakna buat diri saya," katanya.

Sementara itu, Jailani berkata, sumbangan yang diberikan oleh gurunya tidak dapat dibalas kerana ia cukup besar dan bermakna buat dirinya.

"Sempena sambutan Hari Guru hari ini, saya berkesempatan menemui beberapa orang bekas guru yang mengajar di Sekolah Menengah Agama Batu Rakit yang kini dikenali Sekolah Pondok Batu Rakit.

"Jasa dan pengorbanan mereka tidak dapat dibalas. Jika setakat ziarah sebenarnya tidak cukup kerana sumbangan mereka cukup besar.

"Malah, apa jua hukuman yang diberikan oleh guru sebenarnya adalah untuk mendidik kita menjadi seorang yang lebih berguna.

"Oleh sebab itu, saya mengambil roh dan semangat untuk berusaha menjadi seorang anak didik yang boleh memberi sumbangan kepada negara," katanya.

Beliau berkata, pakej haji ini akan diuruskan Yayasan 1 Ummah dan ia adalah satu pemberian kecil sempena Hari Guru.

Sementara itu, seorang lagi bekas guru Jailani, Ismail Mohamad, 74, terharu dengan kunjungan bekas pelajarnya itu.

Beliau bersyukur kerana masih ada pelajarnya yang mengingati sumbangan dan jasa dan berharap ia menjadi ikutan generasi masa kini.

Berita Harian X