Rabu, 28 Jun 2017 - 4:54AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat

Datuk Dr Mary Yap Kain Ching

Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) adalah satu proses pendemokrasian pendidikan, merangkumi program pemerolehan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi sama ada secara formal atau tidak formal. Secara umumnya, PSH mempunyai konsep untuk memenuhi keperluan individu dan guna tenaga di samping mewujudkan warganegara yang aktif dan kesaksamaan sosial.

Antara kumpulan sasaran utama PSH ialah lepasan sekolah, golongan dewasa yang bekerja, suri rumah dan warga emas yang mahu memberi sumbangan kepada negara, menambah baik diri dan mempelbagaikan kemahiran. Lantas Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) dengan jelas meletakkan lonjakan yang ketiga iaitu Menghayati Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) antara agenda utama pendidikan tinggi negara.

Tawar pelbagai kursus

Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) seperti politeknik dan kolej komuniti menawarkan pelbagai kursus pendek kepada komuniti di sekitar. Sebagai contoh, kolej komuniti menawarkan kursus pendek seperti industri agro, ICT, audio video, kecantikan, kulinari, elektronik, fesyen dan jahitan kreatif, fotografi, bahasa, kerohanian dan keagamaan serta banyak lagi.

Begitu banyaknya peluang dan ruang diberikan oleh pihak kerajaan untuk rakyatnya meneroka dan menggali ilmu sebagai satu pembudayaan PSH. Dalam konteks ini, saya ingin berkongsi pengalaman saya dalam membudayakan PSH. Mungkin apa yang saya kongsikan ini hanya sedikit cebisan catatan perjalanan hidup saya dan saya yakin ramai individu di luar sana yang lebih hebat serta mencabar dalam proses kehidupan menimba ilmu.

Berpegang kepada apa yang pernah diungkapkan oleh Nelson Mandela iaitu 'sesuatu perkara nampak mustahil sehinggalah kita berjaya melaksanakannya', mendorong saya untuk terus konsisten dalam mencari ilmu. Sebagai bekas guru, jemaah nazir sekolah, pengarah Maktab Perguruan dan Pengetua Cemerlang Jusa C, pencarian ilmu dalam diri saya tidak ada noktahnya.

Menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) adalah impian saya. Namun kesibukan tugas dan tanggungjawab kepada keluarga menyebabkan saya menyimpan dahulu cita-cita itu jauh di sudut hati. Apabila saya bersara wajib pada 9 Mac 2007 dan dilantik sebagai Perunding Kanan di Institut Aminuddin Baki sehingga 2009, hasrat itu berbunga kembali apabila pada suatu pagi saya membelek lembaran akhbar dan terpaku pada iklan oleh Asia e University yang menawarkan pengajian PhD untuk penjawat awam yang pencen dengan potongan harga menarik.

Saya lantas mengambil keputusan, inilah masanya untuk saya menggapai cita-cita yang terpendam sekian lama. Maka pada 2011, saya mendaftarkan diri sebagai pelajar PhD di Asia e University. Bermula pada saat itu, saya sedar saya bakal mengharungi satu perjalanan akademik yang sangat mencabar. Bagi saya pencarian ilmu tiada batas masa, usia dan tempat. Bermula pada saat itu sehingga 2016, tempoh perjalanan akademik ini dilalui dengan penuh bermakna dan memerlukan persediaan mental serta perasaan cinta akan ilmu pengetahuan yang bukan sedikit.

Sikap begini perlu dijadikan pegangan agar setiap cabaran yang dilalui menjadi begitu menyeronokkan serta menimbulkan kepuasan dalam diri sendiri. Selain itu, kita perlu memiliki minat mendalam terhadap bidang yang dikaji dan diceburi. Malah peranan dimainkan oleh orang terdekat dengan kita, iaitu ahli keluarga dan sahabat handai, sangat penting bagi melonjakkan senergi untuk menyiapkan tugasan itu.

Ubah landskap kehidupan

Memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi kawasan Parlimen Tawau pada 2013 dan seterusnya dilantik menjadi Timbalan Menteri Pendidikan, seterusnya Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, mengubah landskap kehidupan saya. Tugas sebagai Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen yang sentiasa menghambat, menyebabkan saya perlu memiliki motivasi kendiri untuk menyelesaikan ijazah kedoktoran ini.

Kejayaan dan usaha gigih individu yang berjaya menyiapkan ijazah kedoktoran dengan pelbagai cabaran dan onak duri turut menjadi pencetus semangat kepada saya. Akhirnya dengan kudrat yang diberikan oleh Tuhan dan doa tidak pernah lekang serta sokongan dan bantuan individu yang tidak pernah luntur, maka pada 15 Oktober 2016 dalam Majlis Konvokesyen ke-6 Asia e-University di PWTC, saya berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah pada usia 65 tahun setelah lima tahun bertungkus lumus.

Sebenarnya, apa yang saya lalui ini adalah manifestasi daripada PSH. Setiap proses dan langkah yang dilakukan dalam penyelidikan pendidikan pada semua peringkat pengajian (sarjana muda, sarjana mahupun kedoktoran) adalah sangat berguna dalam kerjaya khususnya profesion keguruan.

Sebagai guru, kita perlu melakukan penyelidikan setiap kali melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di kelas. Kita perlu melengkapkan diri kita dengan ilmu teori dan pengetahuan yang dapat diperoleh daripada pelbagai sumber rujukan dalam era teknologi maklumat ini. Kita mesti bersedia dan berani mencuba pelbagai strategi bagi memastikan hasil pembelajaran yang efektif sebagaimana diperlukan dalam sesuatu kajian. Akhirnya hasil kajian diperoleh akan membantu untuk proses penambahbaikan kelak.

Sesungguhnya, perjalanan akademik saya tidak berakhir di sini, begitu juga kepada pendidik di luar sana, kerana selagi nyawa di kandung badan, destinasi untuk mencari ilmu tiada titik perhentiannya. 'Selamat Hari Guru Tahun 2017' dan 'Guru Pembina Negara Bangsa'.


Trending

    Disyorkan