Isnin, 29 Mei 2017 - 12:08PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

BN Johor fokus rampas 5 kerusi Parlimen

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof



MENTERI Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. - Foto Hairul Anuar Rahim

PASIR GUDANG: Barisan Nasional (BN) Johor meletakkan fokus menawan lima daripada enam kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang kini dikuasai pembangkang.

Pada pilihan raya lalu, BN Johor menguasai 20 daripada 26 kerusi Parlimen di seluruh negeri ini, manakala enam lagi kawasan iaitu Kulai, Gelang Patah, Kluang, Batu Pahat, Bakri dan Pagoh dikuasai pembangkang.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata BN Johor kini meletakkan fokus menawan semula lima daripada enam kerusi itu pada pilihan raya akan datang.

"Suruh dia (pembangkang) sebutkan kawasan mana (15 kerusi) yang mereka nak tawan (dari BN Johor).

"Kalau macam tu, BN Johor pula meletakkan fokus tawan lima kerusi Parlimen di Johor pada pilihan raya nanti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Karnival Jualan Mega Muafakat Johor 2017 di pekarangan Stadium Perbandaran Pasir Gudang di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika menjawab soalan media mengenai kenyataan pembangkang yang yakin dapat merampas 15 kerusi pada sidang media mesyuarat khas Pakatan Harapan Johor di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Johor di sini.


Trending

    Disyorkan