Isnin, 29 Mei 2017 - 12:07PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Kes ceroboh, tipu jual tanah masih berlaku

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri



Menteri Besar Petak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (tiga kanan) berjalan sekitar Masjid dalam program Fit Masjid Masjid Ubudiah, Bukit Chandan Kuala Kangsar sempena Pemukiman Menteri Besar di daerah Kuala Kangsar. - Foto

KUALA KANGSAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta bertindak terhadap pihak tertentu yang menceroboh dan meneroka secara haram tanah milik kerajaan Perak dan agensinya.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata ia kerana pencerobohan terus berlaku dan terbaharu membabitkan tanah milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) seluas 41.96 hektar di Mukim Ulu Bernam di daerah Muallim.

Katanya, ada juga sindiket turut menawarkan penjualan tanah milik agensi sama seluas 121.406 hektar di Mukim Senggang, Kuala Kangsar dalam aplikasi WhatsApp, baru-baru ini.

"Perkara ini telah saya bangkitkan berulang kali dan saya mahu polis dan SPRM perkara ini dilihat dengan lebih serius memandangkan ia dapat menjejaskan agensi yang terbabit termasuk kepada kerajaan negeri sendiri kerana perbuatan itu dipercayai didalangi pihak tertentu.

"Saya dimaklumkan mereka yang terbabit dalam kegiatan ini juga menggunakan dokumen tertentu termasuk geran yang dapat dibeli dari Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) lalu dipalsukan bagi mengaburi mata orang ramai supaya mempercayai tawaran mereka," katanya.

Beliau berkata demikian sebelum majlis Jamuan Rakyat di Dewan Terbuka Kampung Chuar Kati, dekat sini, hari ini.

Zambry berkata, ada sindiket semakin berani dengan membuat iklan menjual tanah menerusi laman sosial Facebook serta menggunakan salinan geran dan surat kebenaran kononnya dikeluarkan PPPNP untuk menipu orang ramai, sedangkan agensi itu tidak pernah melantik mana-mana orang tengah, ejen atau pihak sebagai wakil dalam pengurusan tanah miliknya.

Katanya, berikutan kejadian itu pihak PPPNP membuat tiga laporan di Balai Polis Slim River pada 12 Mei diikuti Balai Polis Kampung Rapat, Ipoh, masing-masing pada 15 dan 17 Mei lalu.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan melihat semula prosedur pembelian dokumen tanah di PDT bagi mengatasi masalah penipuan.

"Saya rasa syarat atau prosedur pembelian tanah perlu diperketat dan diperhalusi supaya orang ramai tidak lagi mudah tertipu dengan dokumen yang telah dipalsukan," katanya.


Lagi Berita:

Trending

    Disyorkan