Isnin, 29 Mei 2017 - 12:10PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Penyokong Kedah teruja naik bas ke Stadium Shah Alam

Oleh Petah Wazzan Iskandar


ALOR SETAR: Cuaca hujan tidak menghalang lebih 700 peminat skuad Helang Merah beratur menunggu nombor kerusi bas masing-masing untuk ke perlawanan akhir Piala FA 2017.

Sebanyak 16 bas yang menunggu di pekarangan Wisma Darul Aman, di sini, sejak jam 8 malam, seolah-olah memberi semangat kepada penyokong Pasukan Bola Sepak Kedah (KFA) sabar menunggu.

Tinjauan BH mendapati peminat tegar Kedah menunggu di sisi bas masing-masing dengan ada yang berteduh di bawah pokok untuk mengelak terkena hujan.

Kebanyakan mereka dari pelbagai usia dan jantina masih mampu bersorak 'Pulun Kedah Pulun' dan bersemangat untuk ke Stadium Shah Alam.


Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (tengah) beramah mesra dengan sebahagian daripada penyokong pasukan Kedah di dalam bas sebelum berlepas ke Stadium Shah Alam bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala FA di Wisma Darul Aman, malam ini. - Foto BERNAMA

Seorang penyokong dari Pasukan Siber Kedah, Badrul Hisham, 29, berkata dia dan kumpulannya lebih suka pergi secara berkumpulan kerana semangat Kedah sentiasa membara dan menyeronokkan.

"Biarpun hujan, saya dan rakan masih bersemangat kerana kami akan menjejak kaki di Stadium Shah Alam yang akan melakarkan kemenangan Kedah tahun ini.

"Malah, saya yang sudah banyak kali mengikuti rombongan yakin Kedah akan menang besar mengalahkan Pahang," katanya yang ditemui di sini.

 

Seorang penyokong wanita yang mahu dikenali sebagai Ida, berkata rombongan bersama 16 rakannya sudah pasti akan memberi pengalaman manis dengan meraikan kejayaan Kedah.

"Ini kali pertama saya mengikuti rombongan bas dan biarpun hujan... saya anggap ia rahmat yang memberi petanda Kedah akan menang," katanya.

 

Sementara itu, Menteri Besar Kedah yang juga Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata pihaknya yakin Helang Merah mampu untuk terbang tinggi dan menumbangkan Tok Gajah sekali gus membawa pulang Piala FA.

"Saya tidak mahu membuat ramalan kerana nanti dikatakan angkuh dan sombong tetapi apa yang lebih penting, Kedah berjaya di final nanti.

"Berapa jaringannya tak penting tetapi saya yakin kita mampu menang.

"Saya harap seluruh rakyat negeri ini sama-sama mendoakan kejayaan pasukan serta memberi sokongan padu di stadium bagi meningkatkan semangat pemain, " katanya.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (tengah) bersama sebahagian daripada penyokong pasukan Kedah melaungkan kata-kata semangat sebelum berlepas ke Stadium Shah Alam bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala FA di Wisma Darul Aman, malam ini. - Foto BERNAMA

Trending

    Disyorkan