Selasa, 23 Mei 2017 - 10:37PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Macron berdepan ketegangan awal dengan media Perancis


Presiden Perancis, Emmanuel Macron berucap semasa lawatan beliau ke pasukan operasi Perancis Barkhane di rantau Sahel Afrika di Gao, utara Mali. - Foto AFP

PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron, cuba meredakan ketegangan awal dengan media semalam, selepas memilih sendiri wartawan mengiringinya dalam lawatan ke barat Afrika.

Wakil daripada 25 pertubuhan media termasuk AFP, saluran berita BFM dan TF1 dan akhbar Le Monde dan Le Figaro menandatangani surat terbuka kelmarin menyatakan kebimbangan mengenai strategi komunikasi Macron.

"Bukan tanggungjawab Elysee sepenuhnya untuk memilih siapa antara kami berhak membuat liputan lawatan itu, apa pun temanya," menurut surat itu.

Jurucakap presiden, Sylvain Fort, berkata dalam satu atau dua kes, wartawan dihubungi secara langsung dan ditawarkan beberapa tempat terhad yang ada untuk mengiringi Macron ke Mali semalam.

Pembantu kanan lain sebelum ini menyifatkan pemilihan wartawan sebagai muslihat disengajakan untuk membawa bersama-sama 'pakar' berbanding media politik yang rutinnya mengiringi presiden.

"Wartawan yang bimbang boleh dijamin: Elysee tidak berhasrat campur tangan dalam bilik berita," menurut kenyataan istana presiden kepada pertubuhan Reporters Without Borders, yang juga menandatangani surat terbuka itu.

Macron, 39, berkata beliau berhasrat menjarakkan diri dengan media dalam usaha memulihkan kekuasaan pejabat presiden yang dirasakan terjejas ketika pentadbiran Presiden Francois Hollande.

AFP


Trending

    Disyorkan