Dapatkan BH Plus. Langgan Sekarang.

Kebangkitan kuasa besar beri kesan pada ASEAN - Najib

KUALA LUMPUR: Kebangkitan kuasa besar, termasuk negara Asia dilihat semakin mendominasi senario politik dunia dan sedikit sebanyak memberi kesan kepada rantau ASEAN.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata fenomena paling tidak dijangka yang dikesan sering berlaku ialah kekecewaan terhadap kegagalan proses globalisasi.

Beliau berkata, kekecewaan itu pada dasarnya bukan berlaku dalam waktu singkat, sebaliknya penyakit yang sudah terpendam sekian lama.

"Ia berlaku sudah lama dan dimarakkan lagi dengan kewujudan jurang ekonomi, kemunduran dan perbezaan ideologi politik.

"Semua aspek ini di banyak tempat di dunia, mengakibatkan berlakunya banyak kejadian negatif seperti sikap tidak bertolak-ansur, prejudis dan kebencian terhadap masyarakat serta budaya asing," katanya.

Perdana Menteri menyatakan demikian dalam ucaptama pada majlis pembukaan Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik Ke-31 (APR 31), di sini, malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri.