Rabu, 24 Mei 2017 | 6:31pm

Isu pelarian ibarat api dalam sekam

KUALA LUMPUR: Kebanjiran pelarian asing di beberapa negara rantau Asia Pasifik perlu ditangani secara holistik dan menyeluruh bagi memastikan ia tidak liabiliti yang akhirnya akan membebankan semua pihak terbabit.

Wakil Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) Untuk Pelarian (UNHCR) di Malaysia, Richard Towle, berkata krisis kemanusiaan yang berterusan menyebabkan isu pelarian tidak pernah berjaya dipadamkan sebaliknya terus membara seperti api di dalam sekam.

Senario ini katanya, dapat dilihat dalam isu membabitkan pelarian etnik Rohingya yang sedikit sebanyak berlaku akibat kekurangan dasar khusus pelarian di rantau ini.

"Isu ini terus berlarutan tanpa menunjukkan tanda untuk pulih atau selesai kerana tidak ada dasar khusus pelarian yang benar-benar komprehensif dan efektif untuk menangani masalah berkenaan.

"Kekurangan dasar seumpama ini di rantau Asia Pasifik dan dunia, menandakan kegagalan pihak berkaitan untuk menyelesaikannya hingga ke peringkat akar umbi," katanya pada sesi plenari kedua pada hari terakhir Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik Ke-31 (APR 31) di sini.

Mengulas lanjut Towle berkata, negara serantau perlu memikirkan secara serius kepentingan untuk membentuk dasar pelarian yang serba lengkap berikutan keperluannya adalah begitu kritikal, selaras dengan pertambahan jumlah pelarian akibat diskriminasi dan penghapusan etnik.

"Dalam isu membabitkan pelarian ini, ada beberapa perincian perlu diperhalusi bagi memastikan impak negatif yang menyelubungi permasalahan ini dapat dikurangkan pada skala besar. Sebagai contoh, ada lebih separuh negara Asia menerusi pemerhatian kami, tidak bersetuju dan menerima ketetapan diputuskan oleh Konvensyen Pelarian 1951.

"Ini satu situasi yang genting kerana populasi penduduk negara terbabit akan lebih mudah dimanipulasi serta dieksploitasi untuk terjebak dalam aktiviti haram seperti kumpulan militan," katanya.

Berita Harian X