Rabu, 24 Mei 2017 | 6:43pm

AS jerat diri keluar TPP

KUALA LUMPUR: Tindakan Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) seperti menjerat diri sendiri kerana mendedahkan rakyat negara itu khususnya peladang kecil kepada kemelut ekonomi.

Pengarah Eksekutif Pusat Perdagangan Asia, Dr Deborah Elms, berkata keputusan Presiden Donald Trump untuk membatalkan penyertaan AS dalam pakatan itu dianggap mementingkan diri tanpa mengambil kira nasib peladang kecil yang akan terkesan dengan keputusan luar jangkaan itu.

Beliau berkata, 'permainan jahat' AS dapat dilihat dengan agak ketara apabila membayangkan hanya setuju mengambil bahagian dalam TPP jika dibenarkan merangka kandungan perjanjian itu sendiri dengan pelbagai kelebihan memihak kepada mereka.

"Saya positif AS tidak akan mampu bertahan lama dengan pengunduran itu dan akan segera kembali bagi memulakan semula rundingan serta mengkaji peranan mereka.

"Bagaimana dan bila keadaan itu akan berubah, ia tidak dapat diramal kerana senario politik semasa adalah sesuatu yang sukar dijangka," katanya pada sesi plenari pertama di hari terakhir Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik Ke-31 (APR 31) di sini.

Terdahulu Elms mengakui bahawa manfaat besar menanti negara yang mengambil bahagian dalam TPP walaupun tanpa penyertaan dan pembabitan AS.

"AS sebenarnya berada di ambang kerugian jika menarik diri daripada perjanjian ini kerana konglomerat negara itu akan berdepan kesukaran menembusi pasaran yang selama ini sukar untuk ditembusi.

"Impak paling ketara sudah tentu ke atas peladang kecil di beberapa negeri seperti Iowa yang tidak akan berpeluang meneroka pasaran lebih besar berbanding jika dalam TPP," katanya.

TPP adalah rundingan pakatan perdagangan bebas (FTA) membabitkan 12 negara; Australia, Brunei, Kanada, Chile, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS, Vietnam dan Jepun.

Berita Harian X