Selasa, 27 Jun 2017 - 1:21AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

2 editor kanan The Star digantung tugas

Oleh Rohaniza Idris dan Hazwan Faisal Mohamad


KUALA LUMPUR: Akhbar The Star hari ini, menggantung tugas dua pengarang kanannya, susulan kontroversi berita dan gambar yang disiarkan pada muka hadapan akhbar itu, Sabtu lalu.

Menerusi laman sesawangnya, akhbar itu malam ini melaporkan, Ketua Pengarangnya, Datuk Leanne Goh Lee Yen dan Pengarang Eksekutif, Dorairaj Nadason, digantung tugas untuk suatu tempoh yang tidak dinyatakan.

Penggantungan tugas kedua-duanya, dibuat bagi membolehkan siasatan terhadap kejadian terbabit dijalankan.

Sepanjang tempoh penggantungan, Pengarah Urusan Kumpulan Star Media merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Wong Chun Wai, akan menyelia operasi bahagian editorial akhbar berkenaan.

Akhbar itu juga melaporkan, semua pengarangnya dan Kumpulan Star Media akan memberi kerjasama penuh kepada siasatan yang dijalankan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata dua kertas siasatan dibuka PDRM mengikut Akta Hasutan dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan, terhadap akhbar The Star, susulan penyiaran berita muka depan Sabtu lalu, yang menyinggung perasaan umat Islam negara ini.

Beliau berkata, kertas siasatan terbabit dibuka selepas polis menerima banyak laporan berhubung laporan muka depan akhbar berkenaan.

Katanya, siasatan akan berjalan seperti biasa dan mereka yang bertanggungjawab akan dipanggil untuk membantu siasatan.

"Kita akan memanggil mereka yang bertanggungjawab memberi keterangan untuk mengetahui siapa yang mengeluarkan gambar dan tajuk di halaman pertama akhbar itu Sabtu lalu," katanya selepas majlis penyampaian sumbangan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) kepada anggota keselamatan di sini, hari ini.

Semalam, akhbar berbahasa Inggeris itu diberi tempoh tujuh hari oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menjawab surat tunjuk sebab berhubung penyiaran berita muka depan yang menyinggung perasaan umat Islam.

Surat tunjuk sebab itu merujuk kepada berita muka depan bertajuk 'Malaysian Terrorist Leader' disertai gambar umat Islam sedang bersolat tarawih itu diserahkan kepada ketua pengarang akhbar berkenaan yang dipanggil ke KDN semalam.

PERMOHONAN maaf menerusi portal The Star Online, Ahad lalu berkenaan penyiaran berita muka depan yang menyinggung perasaan umat Islam (gambar kanan).

Trending

    Disyorkan