Selasa, 27 Jun 2017 - 1:25AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Kerjasama tangani 3 isu di Kelantan

Oleh Mohd Zulkifli Zainuddin



DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melakukan kunjungan hormat terhadap Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini. - Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menangani tiga isu utama di negeri ini iaitu keselamatan, dadah dan pemulihan di penjara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kadar indeks jenayah di Kelantan menunjukkan penurunan sebanyak 13.5 peratus dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini sekali gus menjadikan ia satu perkembangan terbaik.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata pihaknya mengharapkan perkembangan ini akan berpanjangan melalui kerjasama kerajaan negeri dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) bagi mewujudkan kelab pencegahan jenayah di seluruh Kelantan.

Katanya, isu keselamatan ini termasuk masalah sempadan dengan perbincangan perancangan jangka masa panjang bagi membina tembok kekal antara Malaysia termasuk Kelantan-Thailand.

"Di Kelantan juga didapati masalah penggunaan pil kuda tertinggi di Malaysia. Justeru, kerajaan negeri perlu melakukan program bersama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam melakukan pemulihan dengan menggunakan pendekatan agama.

"Kita juga akan bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Kelab Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dalam memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap penyalahgunaan pil kuda dan dadah sintetik yang mudah diperoleh dari negara jiran sama ada melalui darat atau laut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.

Perjumpaan secara tertutup selama 30 minit itu turut disertai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pemangku Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad; serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, isu ketiga yang dibincangkan ialah masalah pemulihan kepada banduan yang berada di Penjara Pengkalan Chepa memandangkan penjara bukan saja tempat menjalankan hukuman, tapi pusat melakukan pemulihan.

"Kita akan meminta kerajaan negeri menggunakan pendekatan agama seperti mengajar bacaan al-Quran serta membetulkan solat terhadap banduan supaya mereka dapat dipulihkan sepenuhnya," katanya.


Trending

    Disyorkan