Selasa, 27 Jun 2017 - 3:07AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

SPRM buat pemeriksaan dalaman terhadap pegawai

Oleh Suhaila Shahrul Annuar



LAMAN rasmi SPRM di http://www.sprm.gov.my/

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melakukan pemeriksaan dalaman terhadap semua pegawai bagi mengelak berlakunya penyelewengan dan salah laku dalam kalangan mereka.

Ia susulan penahanan seorang pegawainya oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam kerana disyaki memeras ugut dan meminta wang daripada anggota polis di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

SPRM dalam satu kenyataan berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan PDRM berhubung penahanan itu dan amat mengalu-alukan tindakan tegas pihak polis selain tidak akan mencampuri siasatan yang dijalankan.

"SPRM menegaskan bahawa tidak akan berkompromi dengan kesalahan yang dilakukan pegawai terbabit serta bersedia untuk bekerjasama dengan pihak PDRM.

"Perbuatan seumpama itu sama sekali tidak mewakili suruhanjaya yang sentiasa mendukung prinsip undang-undang dan perlembagaan negara dalam melaksanakan setiap tanggungjawab yang diamanahkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, tiada kompromi sekiranya terdapat pegawai sendiri melakukan jenayah sedemikian dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan yang mencemarkan reputasi dan nama baik SPRM.

Semalam, suspek berusia 38 tahun yang bertugas di Unit Risikan SPRM Putrajaya (Zon Utara) ditahan sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) selepas melakukan pemerasan menggunakan maklumat SPRM untuk mendapatkan wang dari pegawai polis.


Trending

    Disyorkan