Sabtu, 24 Jun 2017 - 1:12AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Kim Swee akan tukar kesebelasan utama

Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor



DATUK Ong Kim Swee. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee akan menukar barisan kesebelasan utama pada pertemuan dengan Guangzhou R&F, esok.

Kim Swee mahu menguji semua pemain sebelum memutuskan senarai akhir untuk kempen kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di Bangkok, Thailand, Julai ini.

Ini bermakna, beberapa pemain dalam kesebelasan utama ketika menentang skuad B-22 China, Sabtu lalu akan direhatkan.

"Ramai pemain belum berpeluang bermain, kemungkinan esok saya akan tukar kesebelasan utama dan mengenalpasti beberapa pemain untuk diketengahkan.

"Kita akan melihat prestasi mereka di peringkat tinggi. Apa yang penting, sesiapa saja yang diturunkan harus tahu corak permainan kita.

"Daripada situ, saya dapat menilai mereka sebelum memilih senarai akhir untuk Kejuaraan B-23 AFC 2018," katanya sebelum memulakan latihan skuad B-22 di Baining Football Training Base, petang tadi.

Pada aksi sulung dalam siri jelajah di China, anak buah Kim Swee tewas 0-1 kepada skuad B-22 China hasil jaringan tunggal Xiang Bai Xu seawal minit pertama.

Selain itu, Kim Swee percaya kemenangan dapat diraih jika pemainnya menetapkan sikap positif dan berdisiplin tinggi di atas padang.

"Kita kena kekal fokus, bukan saja sebaik wisel permulaan, malah ketika keluar dari bilik persalinan lagi.

"Kita boleh menumpukan kepada corak permainan sebenar sekiranya tidak dibolosi terlalu awal.

"Semua pemain harus mempunyai sikap ingin menang dan itu perkara paling penting. Saya percaya kita mampu mencapai kemenangan pada perlawanan esok dan seterusnya," katanya.

Selepas berdepan Guangzhou R&F, skuad Kim Swee akan mengharungi aksi terakhir menentang Guangzhou Evergrande, Khamis ini sebelum terbang pulang ke tanah air pada Jumaat.


Trending

    Disyorkan